Tuesday, 26 November 2019

Mengagumi Koleksi Kereta & Trak Milik Jutawan New Zealand


Pada April lalu, penulis mengambil kesempatan untuk mengembara ke Invercargill, sebuah bandar kecil yang terletak di penghujung South Island, New Zealand. Dengan populasi sekitar 50,000 orang, bandar ini agak sepi dari hiruk pikuk kesibukan kota sekaligus menjadikan tempat yang baik untuk penulis lari dari dunia universiti yang penulis lalui di Dunedin.

Salah sebuah tarikan utama pelancongan di Invercargill adalah Bill Richardson Transport Museum yang menyimpan lebih 100 unit kereta dan trak yang sukar dilihat pada hari-hari yang biasa. Bill Richardson merupakan seorang usahawan Invercargill yang mempunyai pelbagai jenis perniagaan terutamanya di South Island.

Beliau yang meninggal dunia pada 2005 dianggarkan mempunyai kekayaan sekitar NZ$250 juta ataupun kira-kira RM660 juta melalui syarikatnya HW Richardson yang menggajikan lebih 2500 orang pekerja.


Dodge RX70
Kereta dan trak lama juga merupakan aset berharga yang dimiliki oleh keluarga beliau. Antara kenderaan yang menarik perhatian penulis ketika menjenguk ke muzium ini adalah Dodge RX70 yang hanya 303 unit dikeluarkan oleh Dodge dari tahun 1936 hingga 1940.

Trak tangki ini dikeluarkan bagi memenuhi permintaan syarikat-syarikat minyak di Amerika pada zaman itu. Antara syarikat yang menggunakan model ini adalah Texaco dan Esso dimana 75 unit telah ditempah oleh Texaco. Unit ini dikeluarkan pada Februari 1940 sekaligus menjadikan antara unit-unit terakhir yang dikeluarkan oleh Dodge.


Mini Broadspeed GT

Selain itu, Mini Broadspeed GT yang hanya 28 unit dikeluarkan oleh syarikat kejuruteraan berpangkalan di Birmingham  turut mencuri tumpuan penulis. Model ini hanya dikeluarkan selama dua tahun iaitu bermula 1966 sehingga 1968 dimana 16 unit dilaporkan dieksport ke Sepanyol. Harga ketika model ini dikeluarkan bermula dari £800 hingga £1500 ataupun bersamaan £27,400 pada harga hari ini.

Pelbagai model trak turut dipamerkan di muzium ini termasuklah trak Mack, Mercedes dan Ford sekaligus menjadikan muzium ini sebagai suatu destinasi yang wajib dilawati jika anda berada di Invercargill, New Zealand.

Berikut merupakan gambar-gambar kereta lain seperti Ford Thunderbird, Volkswagen Kombi dan Jaguar E-Type yang diambil di muzium ini;











No comments:

Post a comment