Wednesday, 1 May 2019

Tomaso Pantera GTS Tumpuan Utama Pengunjung di Cromwell Classic Car Show


Pada 19 Januari 2019, Kelab Pemilik Kereta Mustang Canterbury telah menganjurkan Cromwell Classic Car Show di Cromwell, New Zealand. Himpunan 766 buah kereta klasik pada tahun ini merupakan salah satu tarikan utama dalam kalendar tahunan bandar Cromwell yang terletak kira-kira 420 kilometer dari bandar Christchurch.

Kereta De Tomaso Pantera Euro GTS berwarna jingga yang dikeluarkan pada tahun 1973 sememangnya dijadikan sebagai highlight utama penganjur apabila meletakkan kereta ini di barisan hadapan sekali. Rekod menunjukkan hanya terdapat 7,260 unit De Tomaso Pantera dibina dalam tempoh 21 tahun pengeluarannya yang bermula dari tahun 1971 hingga 1992. 

Namun apa yang menariknya dengan kereta ini adalah ia salah satu unit dari 500 unit yang dikeluarkan untuk oleh De Tomaso untuk versi Euro GTS. Bagi tahun 1973, hanya 173 unit saja versi ini dikeluarkan oleh pengeluar kereta supercar Itali itu.



Meskipun De Tomaso telah tutup kedai pada tahun 2015, model Pantera ini boleh dianggap sebagai kejayaan terbesar De Tomaso kerana ia mampu mencapai kelajuan sehingga 280km/j sekaligus meletakkannya sebagai kereta terlaju di dunia pada tahun 1973.

Secara amnya, himpunan kereta klasik ini didominasi oleh kereta-kereta Amerika seperti Ford, Chevrolet dan Pontiac. Deretan Ford Mustang dari generasi pertama sehinggalah yang terkini menjadi perhatian pengunjung yang hadir.

Perkara ini berbeza dengan himpunan kereta klasik di Malaysia dimana secara amnya, kereta-kereta continental seperti Mercedes Benz, Jaguar, Rolls Royce dan BMW kelihatan memonopoli acara concours jika dibandingkan dengan kereta-kereta Amerika. Bahkan disini, tidak ada seunit pun kereta klasik Porsche dipamerkan meskipun jumlah penyertaan boleh dikatakan agak besar.


Pemerhatian penulis juga mendapati tidak ada seorang pun model-model jelita yang menghiasi pemandangan penulis untuk tempoh lebih dua jam ketika penulis berada disini. Keadaan ini jauh berbeza dengan di Malaysia dimana acara-acara melibatkan kereta selalunya akan digandingkan sekali dengan kehadiran model-model seksi bagi menarik perhatian pengunjung lelaki.

Konsep membuat acara kereta di tanah lapang juga mengingatkan penulis dengan concours Pebble Beach, California dimana himpunan kereta berprestij itu diadakan di padang golf. Di Malaysia, kebanyakkan acara himpunan kereta diadakan di kawasan yang mempunyai ruang yang terhad seperti di MATRADE, PWTC  ataupun MITEC sekaligus memberi tekanan buat jurugambar-jurugambar akibat pencahayaan yang terhad.

Berikut merupakan gambar-gambar yang diambil dari acara ini;

































No comments:

Post a comment