Friday, 22 June 2018

HARAPAN, Mansuhkan Tol & Kereta Nasional Baru



9 Mei 2018, satu detik bersejarah buat Malaysia apabila untuk pertama kalinya, pemerintahan Malaysia bertukar tangan. Kemenangan gabungan politik Pakatan Harapan ini didorong oleh pelbagai faktor yang mengakibatkan Barisan Nasional kehilangan 1.1 juta undi di seluruh negara.

Skandal 1MDB, kos sara hidup yang tinggi, faktor Mahathir dan manifesto populis Pakatan Harapan antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan telah berjanji di dalam Buku Harapan ( Manifesto ) mereka untuk menghapuskan kutipan tol andai mereka berjaya menawan Putrajaya. Ia merupakan salah satu janji utama kerana diletakkan pada bahagian hadapan sebagai ' Janji 6 ' yang boleh dilihat pada muka surat 29.

Berikut adalah petikan penuh ' Janji 6 : Menghapuskan Kutipan Tol ' ;

Syarikat-syarikat yang diberikan konsesi tol oleh kerajaan menikmati keuntungan yang sangat tinggi. Buktinya ialah sebuah syarikat, iaitu MAJU Holdings, boleh menawarkan untuk mengambil alih Lebuhraya PLUS dengan janji untuk tidak menaikkan bayaran tol selama 20 tahun. Jika konsesi itu tidak untung, bagaimana mungkin MAJU Holdings menawarkan untuk mengambil alih tanpa menaikkan bayaran sebegitu lama?
Tetapi UMNO dan Barisan Nasional terus membiarkan syarikat penerima konsesi, seperti PLUS, terus menerus menekan rakyat demi keuntungan, walaupun ia adalah syarikat milik kerajaan. Jelas sekali, UMNO dan Barisan Nasional tiada keinginan  untuk menghentikan kenaikan harga tol. Malahan, perjanjian yang mereka tandatangan memaksa wang rakyat digunakan untuk memberi pampasan berbillion ringgit kepada syarikat-syarikat terpilih. Walaupun tol mungkin tidak dinaikkan atau dihapuskan, syarikat-syarikat terpilih itu terus mengaut keuntungan akibat perjanjian berat sebelah. 
Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa monopoli konsesi yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tertentu yang rapat dengan kerajaan perlu dihentikan. 
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat 
Kami percaya bahawa penyediaan infrastruktur asas seperti jalanraya dan lebuhraya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat. 
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambilalih konsesi dengan pampasan yang adil kepada syarikat yang berkaitan

Menurut laporan di Paultan.org, Council of Elders ( Majlis Penasihat Kerajaan ) yang dianggotai oleh lima orang individu berprofil tinggi iaitu Tun Daim Zainuddin, TS Zeti Aziz, TS Hassan Merican, Prof Jomo KS dan Robert Kuok akan membuat pengumuman mengenai isu pemansuhan tol pada 21 sehingga 25 Mei. Namun begitu, tiada perkembangan terkini mengenai isu ini sehinggalah sekarang.



Laporan PEMANDU pada tahun 2010 menyatakan bahawa kos pengambil-alihan lebuhraya-lebuhraya di Malaysia secara total adalah sekitar RM 383 bilion. Walaubagaimanapun, CIMB Research berpendapat bahawa klausa perjanjian untuk mengambil alih lebuhraya-lebuhraya tersebut hanyalah menelan belanja sebanyak RM55 bilion.

Untuk pengetahuan, pemansuhan empat tol oleh bekas Perdana Menteri, DS Najib Razak pada pembentangan belanjawan 2018 yang lalu akan menelan kos sekurang-kurang RM2.2 bilion untuk tempoh 20 tahun. Dalam erti kata lain, pengambilalihan tol ini sememangnya memberikan implikasi yang tinggi buat kewangan negara.

Penulis menyambut baik cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan tol secara berperingkat. Meskipun begitu, penulis berpendapat bahawa pemansuhan tol yang paling utama adalah untuk lebuhraya-lebuhraya yang merentasi bandar seperti Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur.

Hal ini kerana kami percaya bahawa syarikat-syarikat tersebut telah pun mendapat balik modal yang telah dilaburkan mereka. Sebagai contoh, perbelanjaan untuk pembinaan lebuhraya PLUS hanyalah sekitar RM6 bilion tetapi keuntungan mereka adalah sekitar RM18 bilion.



Kutipan tol sepatutnya boleh diturunkan secara berperingkat kerana kos yang ditanggung oleh konsesi adalah kos penyelenggaraan sahaja. Penulis percaya mereka telah pun mendapat balik pulangan modal. Perbelanjaan operasi PLUS juga tidak masuk akal. Pada tahun 2014, PLUS menganggarkan akan membelanjakan RM700,000 untuk setiap km sebagai kos operasi ( penyelenggaraan ).

Meskipun konsesi PLUS ini merupakan kilang dividen buat KWSP, penulis berpendapat bahawa amalan memberikan konsesi berpuluh tahun ini dapat dihentikan untuk manfaat rakyat. Takkanlah rakyat nak bayar tol sampai mati. Lagipun bukannya semua orang merupakan pencarum KWSP. Oleh itu, jika tidak dapat dihapuskan pun, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar tol bagi leburaya-lebuhraya merentasi sempadan ini.

Pandangan penulis untuk lebuhraya di dalam bandar ( di Lembah Klang ) pula sedikit berbeza. Penulis berpendapat bahawa bayaran tol perlulah dikenakan sebagai satu caj kesesakkan terutamanya apabila keseluruhan sistem pengangkutan awam telah siap. Dalam jangka masa pendek, kerajaan mungkin boleh mengkaji semula kadar tol supaya direndahkan agar dapat membantu mengurangkan beban hidup rakyat seperti yang terkandung dalam Buku Harapan.

Walaupun begitu, untuk jangka masa panjang, menghapuskan tol di kawasan-kawasan bandar adalah tidak menguntungkan. Pertama, ia akan mengalakkan lagi penggunaan kereta-kereta persendirian dimana ia akan mengeluarkan karbon. Keduanya, ia menambahkan lagi kesesakan trafik yang sedia ada yang mana akhirnya akan menyumbang kepada masalah yang pertama tadi.


Harus diingatkan bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang bersetuju untuk mengurangkan pelepasan karbon seperti mana yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Najib Razak di Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York pada tahun 2015 melalui Sustainable Development Goals. Justeru, tindakan untuk menghapuskan tol ini penulis berpendapat sebagai satu langkah keterbelakang yang bercanggah dengan aspirasi negara.

Berkenaan dengan jenama kereta nasional baru yang dicadangkan oleh Tun Mahathir dalam lawatannya ke Jepun, penulis mengambil pendirian untuk bersikap neutral terhadap cadangan ini. Walaubagaimanapun, jika cadangan ini direalisasikan, syarikat automotif negara yang baru ini mestilah cukup berdaya saing dan tidak hanya bergantung harap dengan pasaran tempatan sahaja.

Syarikat automotif ini juga haruslah 100% dipacu oleh pihak swasta agar tidak ada lagi penggunaan wang rakyat dalam membantu operasi syarikat tersebut seperti apa yang terjadi dengan PROTON. Untuk pengetahuan pembaca, kerajaan Malaysia telah menyalurkan bantuan sejumlah RM15.3 bilion dari tahun 1984 kepada PROTON. Dana sebesar ini sudah semestinya mampu memberikan manfaat yang lebih jika digunakan untuk kepentingan rakyat secara sepenuhnya.

Syarikat automotif nasional yang akan dicadangkan ini juga perlulah bebas dari dasar-dasar sokongan kerajaan yang akan memberi impak kepada pengguna. Seperti contoh, duti eksais, duti import dan segala jenis cukai terhadap jenama kereta import lain tidak sepatutnya memberikan kelebihan kepada syarikat kereta nasional ini.



Ada yang kata syarikat kereta yang dicadangkan oleh Tun Mahathir ini perlulah menggunakan teknologi hijau serta mampu bersaing seperti TESLA Motors.

Penulis menyambut baik cita-cita tersebut, namun harus diingatkan model perniagaan seperti TESLA ini adalah tidak menguntungkan dalam jangka masa pendek. TESLA pada suku pertama tahun ini sahaja telah kerugian $710 juta ( RM2.8 bilion ) manakala pada tahun 2017, kerugian yang dicatatkan TESLA adalah $2.24 bilion.

Dalam erti kata lain, perniagaan seperti TESLA ini sememangnya hanya sustainable untuk pemain-pemain industri seperti Elon Musk sahaja yang telah kaya dengan perniagaan lain dan mempunyai kekayaan sekitar RM80 bilion. Penulis percaya tak ada ahli perniagaan di Malaysia yang sanggup menanggung kerugian sepertimana Elon Musk sanggup menanggung kerugian TESLA.

Apapun agendannya, penulis percaya bahawa pada era ini, tumpuan harus diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi memperkasakan pengangkutan awam agar sejajar dengan aspirasi negara sekaligus dapat mengurangkan kesesakkan di ibu kota serta mengurangkan pelepasan karbon ke udara.

Bagi mengurangkan beban rakyat, inisiatif Pakatan Harapan untuk memperkenalkan kad pengangkutan awam tanpa had serta subsidi bersasar buat isi rumah berpendapatan rendah haruslah disegerakan berbanding blanket subsidy yang mana lebih menguntungkan golongan kaya. Hal ini kerana 42% subsidi pergi kepada golongan Top 20% berbanding hanya 4% kepada golongan Bottom 20%

Apa-apa pun, penulis mendoakan yang terbaik buat pentadbiran baru Pakatan Harapan supaya dapat memacu ekonomi Malaysia setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Sumber:

https://paultan.org/2018/05/17/announcement-on-toll-concessions-next-week-says-zeti-of-council-of-eminent-persons-report/
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/12/298144/menanti-1-januari-2018
https://www.thestar.com.my/business/business-news/2018/05/18/toll-dilemma/
https://www.roketkini.com/2012/01/19/pengendali-tol-lebuh-raya-untung-maha-firaun/
https://www.thestar.com.my/business/business-news/2014/03/29/offer-gets-cool-reception-ownership-of-plus-highways-remains-status-quo-for-now/
https://sustainabledevelopment.un.org/content/documents/15881Malaysia.pdf
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/07/305221/kerajaan-salur-rm153-bilion-kepada-proton
https://www.theguardian.com/technology/2018/may/02/tesla-loss-model-3-elon-musk
https://www.theverge.com/2018/2/7/16986396/tesla-2017-full-year-earnings-model-3-production
https://www.keadilanrakyat.org/wp-content/uploads/2018/03/BUKU-HARAPAN-.pdf
http://www.bnm.gov.my/files/publication/ar/en/2014/cp04_001_box.pdf
https://www.nst.com.my/news/nation/2017/12/310231/pm-malaysia-course-reduce-carbon-emissions-40-pct-2020

No comments:

Post a comment