Wednesday, 30 May 2018

Rolls Royce Phantom IV & Jaguar E-Type Curi Tumpuan di Perkahwinan Diraja Putera Harry & Meghan Markle


Perkahwinan diraja diantara Duke of Sussex, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle sememangnya merupakan detik bersejarah buat rakyat British. Majlis perkahwinan diantara adinda pewaris takhta dan bekas pelakon drama bersiri Suits ini mengambil tempat di Istana Windsor pada 19 Mei 2018 yang lalu.

Kenderaan yang membawa Meghan Markle telah menjadi highlight utama pada majlis kali ini. Beliau meninggalkan hotel Cliveden House untuk ke majlis perkahwinannya dengan menaiki Rolls Royce Phantom IV 1950. Model legenda Rolls Royce ini mempunyai sejarah panjangnya yang tersendiri.


Kereta Rolls Royce Phantom IV ini sebenarnya dikeluarkan khas buat Queen Elizabeth ketika beliau masih lagi menjadi puteri raja. Ia juga pernah digunakan untuk majlis pertunangannya pada tahun 1952. Model ini untuk terakhir kalinya kelihatan di khalayak ramai pada tahun 2011 dimana Kate Middleton dibawa ke Westminster Abbey untuk majlis perkahwinannya dengan Putera William

Rolls Royce mengeluarkan hanya 18 unit Rolls Royce Phantom IV dari tahun 1950 hingga 1956 dengan hanya dua varian enjin iaitu 5.6 liter dan 6.5 liter untuk tiga unit yang terakhir. Model ini hanya dikeluarkan ekslusif untuk orang kenamaan seperti untuk kegunaan keluarga diraja Britain dan ketua-ketua negara.


Dua unit model ini pernah dimiliki oleh Shah Reva Pahlavi, Raja Iran yang digulingkan dalam Revolusi Iran. Selain beliau, Rolls Royce juga mengeluarkan tiga unit model ini buat Emir Kuwait, Abdullah III Al-Salim Al Sabah. Pemilik-pemilik lain model ini termasuklah diktator Sepanyol, Franco Bahamonde, Aga Khan ( pemimpin agung Syiah di India ), Putera Talal ( Arab Saudi ) dan kerabat diraja Iraq.

Sehingga kini, hanya 16 unit yang dilaporkan masih berada di dalam keadaan baik dimana kebanyakannya dipamerkan di muzium ataupun berada di dalam koleksi peribadi. 


Untuk after-event party pula, pasangan diraja ini telah keluar dari istana untuk ke Frogmore House yang terletak kira-kira 3.5km daripada Istana Windsor menggunakan Jaguar E-Type Zero yang telah dikuasakan dengan enjin elektrik.

Jaguar E-Type ini telah diubahsuai pada tahun lalu oleh Jaguar Land Rover. Ia dikeluarkan pada tahun 1968 dan dibeli dari balu seorang pemuzik bernama Toby Smith yang meninggal dunia pada tahun lalu selepas bertarung selama enam tahun dengan kanser.


Menurut laporan media, kos untuk mempersiapkan kereta ini oleh Jaguar Land Rover adalah sekitar GBP 350,000 ataupun bersamaan dengan RM1.8 juta. Kos ini termasuklah nombor plat khas iaitu E190518 bersempena tarikh keramat perkahwinan mereka. 

Ia dikuasakan dengan enjin elektrik 220kw yang mampu mencapai kelajuan 60 batu sejam dalam tempoh 5.5 saat iaitu cepat sesaat berbanding versi asal Jaguar E-Type series 1. Walaubagaimanpun, Jaguar hanya mengehadkan kelajuan kereta ini kepada 160km sejam sahaja. Selain perubahan mekanikal, dashboard kereta ini juga ditukar kepada bentuk digital berbanding analog agar tampak lebih moden.


Jaguar E-Type merupakan model simbolik Jaguar dimana Enzo Ferrari pernah menyatakan ia sebagai ' the most beautiful car ever made " . Majalah automotif serta surat khabar seperti Sports Car International dan The Daily Telegraph turut mengiktiraf rekabentuk cantik model ini. Tidak hairanlah adik kepada Kate Middleton, Pippa Middleton turut menggunakan model ini dalam perkahwinan mereka tahun lalu.

Berikut merupakan gambar-gambar lain kereta Rolls Royce Phantom IV & Jaguar E-Type Zero ;







No comments:

Post a comment