Saturday, 14 April 2018

Laporan Knight Frank : Kereta Klasik Catat Pelaburan Paling Menguntungkan dalam tempoh 10 Tahun

Aston Martin DBR1 1956
Firma Perunding hartanah berpangkalan di London, Knight Frank baru-baru ini telah mengeluarkan laporan tahunan yang dinamakan The Wealth Report. Laporan ini disediakan bagi melihat trend dan prestasi pasaran hartanah serta pelaburan-pelaburan yang lain secara global.

Salah satu indicator yang diselidik oleh Knight Frank adalah berkenaan dengan barangan-barangan mewah yang dinamakan Indeks Pelaburan Mewah Knight Frank. Antara barangan yang dikaji adalah barangan seni, wine, jam tangan, syiling, barang kemas, kereta, stem, berlian, perabot dan seramik Cina.

Item-item yang disenaraikan di atas merupakan barangan yang kerap kali dijadikan barang koleksi golongan elit sebagai salah satu pelaburan mereka. 


Pada tahun 2017, harga kereta klasik meningkat sekitar 2% sahaja berbanding dengan item lain seperti barangan seni, wine, jam tangan, syiling dan barang kemas. Meskipun peningkatan item ini agak minimum, namun harga kereta klasik meningkat paling tinggi iaitu sebanyak 334% dalam tempoh sepuluh tahun yang lepas. Angka ini melangkaui purata peningkatan harga indeks ini sendiri iaitu sekitar 126%.

Kereta legenda lumba yang pernah dipandu Sir Stirling Moss antara yang mencatatkan harga bidaan tertinggi sepanjang tahun 2017. Kereta Aston Martin DBR1 1956 ini telah dilelong oleh RM Auction di Monterey, California pada harga $22,600,000 sekaligus memecahkan rekod yang dipegang oleh Jaguar D-Type 1955 yang merupakan kereta lumba termahal yang pernah bersaing di Le Mans.

Selain Sir Stirling Moss, pelumba dan pereka automotif terkenal, Caroll Shelby juga pernah memandu unit ini pada perlumbaan 12 Hours of Sebring pada 1958 meskipun beliau tidak menghabiskan perlumbaan. Pada tahun berikutnya, Sir Stirling Moss pula memenangi perlumbaan Nurburgring 1000km di Jerman.


Model ini merupakan salah satu model terpenting untuk Aston Martin dalam sejarahnya kerana ia membawa prestij yang tinggi buat Aston Martin kerana kemenangannya di Le Mans. Ia juga merupakan unit pertama daripada lima unit DBR1 yang dikeluarkan oleh Aston Martin dan telah diselenggara dengan rapi oleh R.S. William, seorang yang pakar dalam menyelenggara kereta Aston Martin.

Penganalisis di Historic Automobile Group International ( HAGI ) amat yakin bahawa harga kereta klasik akan kekal meningkat pada tahun 2018,

" Agak sukar untuk membuat jangkaan, namun apa yang saya yakin adalah harga yang tinggi akan dibayar untuk mendapatkan kereta yang terbaik oleh pengumpul koleksi kereta-kereta klasik pada tahun ini. " - Dietrich Hatlapa, penganalisis HAGI

No comments:

Post a comment