Friday, 2 March 2018

Skim Pelupusan Kereta Mampu Kurangkan Kadar Kemalangan?


Beberapa bulan lepas penulis dihubungi oleh BERNAMA News Channel untuk memberikan pandangan sebagai pihak ketiga mengenai skim pelupusan kereta lama di Malaysia bagi mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia.

Dalam forum Ruang Bicara tersebut, Profesor dari Pusat Penyelidikan Jalan Raya UPM dan Presiden Pemandu Bas Semenanjung Malaysia dijemput untuk memberikan pandangan mereka dengan tajuk perbincangan ' Dasar Tamat Hayat Kenderaan: Kurang Kes Kemalangan. '

Pihak-pihak berkepentingan dalam sektor automotif ini berpandangan melupuskan kereta lama mampu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya kerana keberkesanan ( effectiveness ) kereta-kereta yang sudah tua semakin berkurangan tatkala masa berlalu.

Selain daripada itu, mereka juga berpendapat bahawa kereta-kereta yang dibina dahulu tidak mempunyai spesifikasi keselamatan yang tinggi seperti beg udara sekaligus kurang selamat di jalan raya andai berlaku kemalangan.

Oleh itu, mereka menyarankan kereta-kereta lama ini dilupuskan dan diberi rebat kepada pemilik kereta. Hal ini dapat dibaca di [ sini ] & [ sini ] dan ia bukanlah satu cadangan yang baru disuarakan di negara ini kerana kadar kemalangan di jalan raya semakin meningkat saban tahun.


Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa bilangan kemalangan jalan raya pada tahun 2015 adalah sebanyak 489,606 dengan 6,706 kematian. Ini bermaksud 1,341 kemalangan dan 18 kematian di jalan raya dilaporkan setiap hari.

Menurut Perangkaan Sebab Kematian yang dikeluarkan tahun lalu pula, kemalangan jalan raya merupakan punca kematian keempat tertinggi dengan peningkatan dari 5.2% pada 2015 kepada 5.4% pada 2016.

Tidak hairanlah ramai pihak yang menggesa kerajaan melaksanakan sesuatu bagi mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya kerana ia memberi beban yang berat kepada kerajaan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada tahun lalu menyatakan bahawa kos yang ditanggung kerajaan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2016 adalah sekitar RM9.2 bilion. Angka ini merupakan peningkatan kos sebanyak RM581 juta berbanding RM8.7 bilion yang dicatatkan pada tahun 2015

Walaupun begitu, penulis berpendapat bahawa kadar kemalangan tidak dapat dikurangkan melalui kaedah pelupusan kereta lama. Perkara ini dapat dilihat melalui kajian yang dilakukan oleh Lim Aik Kuan dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 2007 yang bertajuk Hubungan Sikap Pengguna Jalan Raya dengan Kemalangan Jalan Raya.

Pada bahagian rumusan, beliau menyatakan bahawa sikap manusia merupakan faktor utama yang mengakibatkan kemalangan jalan raya ;
 Antara punca utama kemalangan jalan raya ialah faktor manusia. Faktor manusia dikatakan menyumbang sebanyak 90 hingga 95 peratus dalam kemalangan jalan raya. Sikap pengguna jalan raya atau pemandu yang tidak mahu bertolak ansur, tidak bertimbang rasa, tidak sabar, agresif dan sebagainya bukan setakat membabitkan nyawa manusia malahan mengakibatkan kerosakan harta benda dan kerugian yang berjuta-juta ringgit yang terpaksa ditanggung oleh mangsa dan juga pihak kerajaan. Oleh itu usaha ke arah mengenalpasti punca kemalangan jalan raya yang berhubung dengan sikap pengguna jalan raya perlu dijalankan secara terperinci. 

Dalam erti kata lain, kemalangan jalan raya secara amnya berpunca daripada kelekaan ataupun sikap pemandu itu sendiri bukannya disebabkan kereta tersebut tidak mempunyai tahap keselamatan yang tinggi.

Meskipun begitu, penulis tidak menafikan bahawa dengan sistem keselamatan yang baik seperti beg udara, anti-lock brake system dan traction control mengurangkan kesan kemalangan jalan raya. Perkara ini juga disokong oleh kajian pada tahun 2006 oleh Sekolah Perubatan Hannover di Jerman.

Ninety-one percent wore a safety belt. Only 13% of all passengers suffering a sternal fracture had an airbag on board (33 of 255 car/trucks), with an airbag malfunction in 18%

Kajian yang dilakukan di New Zealand turut memberikan kesimpulan yang serupa dimana kecederaan akibat kemalangan jalan raya lebih tinggi untuk kereta yang lebih tua berbanding kereta moden. Menurutnya ;
Vehicles constructed before 1984 had significantly greater chance of being involved in an injury crash than those constructed after 1994 (odds ratio 2.88, 95% confidence interval (CI) 1.20 to 6.91), after adjustment for potential confounders.


Meskipun penulis menolak cadangan untuk melupuskan kenderaan lama bagi mengurangkan kadar kemalangan. Ia tidak bermaksud penulis menolak saranan ini secara keseluruhannya. Perlu ditegaskan disini bahawa penulis hanya tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana penulis tidak berpendapat ia dapat mengurangkan kadar kemalangan.

Seperti yang disebutkan diatas, kemalangan jalan raya kebanyakkan berlaku disebabkan oleh faktor manusia bukannya faktor kenderaan. Oleh itu, adalah tidak adil untuk kita menghukum kenderaan dengan melupuskan mereka apabila usia mereka menjelang tua kerana permasalahan akarnya terletak pada sikap pemandu itu sendiri.

Mereka mungkin diberi peluang untuk memandu Mercedes Benz S-Class ataupun Bentley Continental GT di jalan raya. Namun jika gaya pemanduan agresif seperti melebihi had laju, memandu dengan melulu, melanggar lampu isyarat dan sebagainya tidak diubah, kadar kemalangan sudah pasti tidak dapat dikurangkan meskipun kematian ataupun impak kecederaan dapat diminimumkan kerana ciri-ciri keselamatan kereta ini begitu komprehensif.

Penulis berpendapat cadangan ini boleh diterimapakai dengan syarat ia bukannya bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan sebaliknya ia bertujuan untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon serta untuk merangsang ekonomi negara. Perkara ini merupakan sebab utama mengapa negara-negara lain melaksanakan program pelupusan yang lebih dikenali sebagai scrappage system.

Negara Luxembourg sebagai contoh memberikan rebat sehingga Euro 2,500 jika kenderaan baru yang dibeli menggantikan kereta lama itu mempunyai kadar pelepasan karbon yang rendah. Selain Luxembourg, negara lain yang memberikan inisiatif yang serupa adalah Portugal, Ireland, Itali dan Perancis.


Hal berkenaan dengan pelepasan karbon ini sepatutnya perlu dititikberatkan oleh rakyat Malaysia kerana ia merupakan salah satu agenda yang terkandung dalam Sustainable Development Goals yang turut disertai oleh Malaysia sebagai salah sebuah negara-negara PBB. Oleh itu, skim pelupusan kenderaan ini mungkin boleh menjadi salah satu langkah kerajaan dalam mengurangkan kadar pelepasan karbon bagi memenuhi matlamat tersebut.

Selain itu, rebat yang diterima oleh pemilik kenderaan juga boleh digunakan untuk membeli kereta baharu yang dipasang di Malaysia terutamanya pembuat-pembuat kenderaan yang dimiliki oleh firma Malaysia. Sebagai contoh, rebat RM5,000 ( diskaun ) diterima oleh pemilik dapat digunakan untuk membeli sebuah PROTON Iriz meskipun majoriti saham PROTON bukanlah dimiliki oleh syarikat Malaysia.

Ingin ditegaskan sekali lagi, program pelupusan kenderaan lama dengan tujuan mengurangkan kadar kemalangan sama sekali tidak akan berjaya kerana kenderaan bukanlah punca kemalangan sebaliknya sikap dan tingkahlaku manusia itu sendiri. Meskipun begitu, penulis percaya bahawa kita tidak sewajarnya menolak sepenuhnya cadangan program ini jika ia bertujuan untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon serta merangsang kembali industri automotif negara sekaligus pengguna dapat menikmati ciri-ciri keselamatan yang terkini dari pengeluar kenderaan.

No comments:

Post a comment