Friday, 16 March 2018

Model Ferrari & Duesenberg Rangkul Anugerah Best of Show di Amelia Concours d'Elegance


Amelia Island Concours d'Elegance merupakan acara himpunan kereta klasik dan vintaj berprestij yang menghimpunkan pemillik-pemilik kereta dari seluruh dunia. Acara ini pada awalnya dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari 9 Mac 2018 sehingga 11 Mac 2018 namun disingkatkan kepada hari Sabtu disebabkan cuaca yang dijangka tidak menentu pada Ahad.

Lebih 100 buah kereta dihimpunkan pada acara tahunan yang berlangsung di Ritz Carlton, Florida. Acara ini diadakan secara tahunan dan secara kebiasaannya, dijadualkan pada hujung minggu pada minggu kedua bulan Mac setiap tahun. Hotel Ritz Carlton dan Mercedes Benz merupakan penaja utama manakala RM Sotheby's pula menjadi pelelong rasmi pada acara ini.



Ferrari 250/275P 1963 milik JSL Motorsport Collection dan Duesenberg J/SJ Convertible 1929  milik Harry Yeaggy telah berjaya merangkul anugerah Best of Show pada tahun ini. Ferrari 250/275P 1963 tersebut telah dibina untuk bersaing dalam Kejuaraan Prototaip Dunia pada tahun 1963. Kereta ini telah berjaya memenangi Perlumbaan Nurburgring 1000km ADAC pada tahun 1963 yang dipandu John Surtees dan Willy Mairesse. Pada tahun berikutnya, kereta ini juga telah berjaya memenangi Perlumbaan 12 Hour Sebring. 

Pemilik Duesenberg J/SJ Convertible, Harry Yeaggy pula merupakan seorang penggemar kereta klasik yang juga pemilik Union Savings Bank. Portal Business Insiders pada 2010 pernah melaporkan bahawa beliau telah membeli Aston Martin DB5  yang digunakan oleh James Bond dalam filem Goldfinger dengan harga $4.6 juta. Laman web Agent4Star.com pula pada 2015 menamakan koleksi kereta miliknya antara salah satu yang terbaik di Amerika Syarikat. 

Ferrari 412P 1967 milik Harry Yeaggy yang dianggarkan bernilai lebih $20 juta

Perkara ini tidak menghairankan kerana beliau telah mengumpul pelbagai model ekzotik seperti Ferrari 250 Testarossa 1958, Chevrolet Corvette Grand Sport 1963, Ferrari 412P 1967 serta McLaren F1 yang dibelinya pada harga $13.75 juta pada 2015.

RM Sotheby's yang merupakan pelelong rasmi Concours ini pula telah berjaya mengutip $27.7 juta dengan hampir 86% kereta yang dilelong telah terjual. Ferrari 275GTB 1966 telah dibida dengan harga tertinggi iaitu sebanyak $2.2 juta diikuti Porsche 911 Carerra RS3.8 1993 ( $1.65j ) dan Isotta Fraschini Tipo 8A S Boattail Cabriolet ( $1.27j )
Jualan Ulangtahun ke-20 di Amelia Island menunjukkan permintaan yang sihat dalam pasaran dengan kadar jualan lot-lot lelongan sebanyak 86% - Gord Doff, Ketua Divisyen Lelongan Global RM Sotheby's
Ferrari 275GTB ini terjual pada harga $2.2 juta

Antara kereta-kereta lain yang turut terjual pada acara lelongan ini adalah Ferrari Dino 246 GTS, Lamborghini LM002, Ferrari 365GTB Daytona, Rolls Royce Silver Cloud I, Mercedes 280SE 3.5 Sunroof Coupe dan Porsche 912. Namun begitu, terdapat juga beberapa lot yang tidak terjual antaranya Shelby 289 Cobra Maserati 3500GT Coupe Speciale dan McLaren SLR Roadster.

Berikut merupakan gambar-gambar yang diambil dalam acara ini ;














Sumber : RM Sotheby's
RobbReport.com
Autoclassic.com
Agent4starts.com
Classicnews.com

No comments:

Post a Comment