 |
Ferrari Daytona 365GTB |
Concours d'Eleganza Villa d'Este di Lake Como, utara Itali
pertama kali diadakan pada 1 September 1929 dianjurkan oleh Kelab Automobil
Como. Como merupakan kawasan ekslusif yang terletak di Lombardy, Itali dan
terkenal dengan pemandangan indah di tepi tasik. Keindahannya ini membuatkan ia
terkenal dalam kalangan selebriti Hollywood seperti George Clooney yang
memiliki kediamannya di situ.
Bahkan jika anda pernah menonton filem Ocean's Twelve yang
diarahkan oleh Steven Sodenbergh, pencuri hasil seni dikenali sebagai Night Fox
yang merupakan seorang Baron turut tinggal di Lake Como.
 |
Lamborghini Miura |
Acara Concours d'Elegance ini diadakan di perkarangan Grand
Hotel Villa d'Este dan telah meraih pelbagai publisiti dan pengiktirafan
daripada peminat kereta di Eropah. Disebabkan itu, acara di Villa d'Este ini
dikatakan setanding dengan concours berprestij lain seperti di Paris dan Monte
Carlo.
Dua bulan selepas acara ini diadakan, dunia mengalami krisis
kewangan terburuk iaitu Wall Street Crash yang mengakibatkan ekonomi dunia
merudum. Pengeluaran kereta secara besar-besaran semakin berkurang meskipun
perniagaan coach building seperti Mulliner Park Ward dan sebagainya masih mampu
bertahan.
Disebabkan krisis yang berlaku di benua Eropah, acara ini
tidak dapat diadakan secara konsisten setiap tahun. Sebagai contoh, pada tahun 1938
acara ini tidak dapat diadakan kerana Milan Motor Show telah dibatalkan. Pada
tahun 1939, perintah telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk melarang kereta berada di atas
jalan raya akibat krisis politik dan kemungkinan tercetusnya peperangan.
Acara ini kemudian diadakan semula pada tahun 1947 sebelum
dilupakan lebih daripada 40 tahun. Concours berprestij ini dihidupkan semula
pada tahun 1995 dan ia menjadi acara tahunan semenjak tahun 2008. Untuk edisi kali
ini, acara ini berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Mei 2017.
 |
Alfa Romeo Giulietta SS Prototipo 1957 |
Menurut penganjur, sebanyak 51 unit kereta dipamerkan dengan
tema ' Around the World in 80 Days ' yang ditaja oleh BMW. Alfa Romeo Giulietta
SS Prototipo Coupe 1957 milik Corrado Lopresto telah memenangi anugerah Best of
Show yang diadili oleh juri daripada BMW Group. Manakala untuk undian umum,
Lurani Nibbio tahun 1935 yang dikuasakan dengan enjin 150cc telah berjaya
menambat hati penggemar kereta klasik di Itali.
BMW Group turut mengambil kesempatan ini mempamerkan rekaan
terbaru mereka iaitu BMW 8 series yang dijangkakan dikeluarkan kembali bermula
tahun hadapan. Pengeluar kereta Jerman ini juga turut memperkenalkan Rolls
Royce Sweptail yang mana CEO Rolls Royce, Muller Otvos menyifatkannya sebagai
amat-amat mahal.
" Anda boleh tulis yang kata kereta ini kereta baharu
yang paling mahal " katanya kepada wartawan media di sana. Meskipun pihak
Rolls Royce enggan mendedahkan harga sebenar unit ini, spekulasi yang berlegar menyatakan bahawa
kereta ini bernilai sekurang-sekurangnya 10 juta pound atau lebih kurang Rm 54
juta.
Selain BMW, acara ini turut mendapat sokongan dan tajaan dari
beberapa syarikat terkenal seperti A Lange & Sohne ( syarikat jam tangan
mewah Jerman ) , Julies Baer ( syarikat perbankan Swiss ) dan juga Vranken
Pommery ( pengeluar arak dari Perancis ).
Syarikat lelongan terkenal, RM Sotheby's turut mengambil
kesempatan ini untuk membuat lelongan di Villa Erba Exhibition Center yang
terletak kira-kira 950m daripada Villa d'Este. Sebanyak 66 unit kereta dan
motosikal cuba untuk dilelongkan meskipun hanya lebih kurang 70% sahaja yang
terjual.
Gambar diambil dari autocar.co.uk ;
No comments:
Post a comment