Saturday, 29 October 2016

Tunku Temenggong Johor Meriahkan Asia Klasika 2016


Acara himpunan kereta klasik dan vintaj berprestij di Malaysia, Asia Klasika telah dianjurkan dengan jayanya bermula 23 September sehingga 25 September 2016. Asia Klasika 2016 merupakan tahun pertama Asia Klasika diadakan di luar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan Tuanku Sultan Johor yang ingin himpunan ini diadakan di Johor.

Program selama tiga hari ini berlangsung di Puteri Harbour, Nusajaya yang terletak kira kira 15 minit daripada Johor Bharu. Bagi tahun ini, Asia Klasika meraikan ulang tahun ke-130 Mercedes Benz selain 100 tahun penubuhan BMW. Model Jaguar E-Type serta MINI Cooper juga diraikan sempena ulang tahun ke-55 mereka pada tahun ini.



Penganjur Asia Klasika daripada Historic Motoring Ventures, Andrew Suresh menyatakan hampir 90 buah kereta dan 25 buah unit motosikal klasik terlibat dalam acara kali ini. Beliau menjelaskan terdapat penambahan dalam penglibatan kereta-kereta dari Singapura.

" Beberapa tahun yang lalu, hanya terdapat beberapa kereta Singapura yang mengambil bahagian dalam Asia Klasika, tetapi pada tahun ini, terdapat lebih 10 buah kereta daripada Singapura yang terlibat. " jelas Suresh lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa kereta-kereta yang mengambil bahagian diadili dengan begitu terperinci sekali. 

" Tidak kisah jika anda mempunyai Mini Minor ataupun Rolls Royce, jika kereta berada dalam keadaan asli ataupun baikpulih dijalankan dengan begitu rapi, anda berhak untuk menang. Juri yang mengadili tidak akan terpengaruh dengan jenama kereta tersebut. "


Apa yang menarik dalam acara kali ini, Mercedes 300D Adenauer milik Dato' Sia Hok Kiang yang baru sahaja selesai menyertai Peking to Paris turut dipamerkan. Beliau tidak dapat mempamerkan Rolls Royce Phantom miliknya kerana kereta tersebut masih berada di Englang untuk acara concours di sana. Meskipun begitu, Mercedes 300D Adenauer miiknya tidak kurang hebatnya dalam segi sejarah perjalanannya. 

Kereta yang dikeluarkan pada tahun 1961 telah terlibat dalam saingan The Sahara Challenge dari Sepanyol sehingga ke Maghribi pada tahun lalu. Meskipun berusia 55 tahun, jentera ini hanya memerlukan 10 hari sahaja bagi menamatkan saingan sejauh 3,570km. Gandingan Dato Sia' Hok Kiang dan anaknya, Eric Sia merupakan satu-satu pasukan daripada Malaysia dan juga dari Asia.

" Antara ciri istimewa kereta ini adalah tiang b ( b-pillar ). Ia agak sesuai untuk digunakan sebagai kereta perarakan kerana kesemua tingkapnya dapat diturunkan tanpa halangan. Perkataan Adenauer ini diambil daripada nama Canselor Jerman, Konrad Adenauer yang sering melambai dari dalam kereta tersebut yang merupakan kereta rasmi Canselor Jerman. "


Penulis juga sempat menemuramah juri untuk acara kali ini yang merupakan peguam terkenal, Dato K. Kumaraendran yang memiliki hampir 10 buah kereta klasik dan vintaj. Beliau yang hebat di mahkamah hanya mempamerkan Mercedes Benz 300SL R107 kerana kekangan masa. Hal ini kerana pada hari Isnin beliau terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur bagi mengendalikan sebuah kes.

Jadi, agak sukar baginya bagi menguruskan kesemua keretanya dari Johor Bahru ke Pulau Pinang.

Beliau merupakan pemilik kedua Mercedes Benz 300SL tahun 1986. Meskipun telah memasuki usia klasik, kereta ini berjaya menempuhi perjalanan tanpa sebarang masalah sehingga ke Singapura dan Kelantan. " Kereta ini boleh dipandu sekitar 140km/j meskipun saya boleh memecut sehingga 160km/j " katanya lagi.

Antara kereta lain yang dimiliki oleh peguam terkenal ialah Jaguar XK140, Jaguar XK120, Jaguar E-Type, Austin Healey 3000, MGTC, Porsche 911 1981 dan beberapa buah kereta lagi. Ketika ditanya mengenai kereta idaman beliau, beliau menjawab " 300 SL Gullwing " meskipun ia melangkaui bajetnya.



Kereta lain yang menarik perhatian adalah Mercedes Benz 220SEb W111 1963 milik Kumar Balasingam, seorang CEO syarikat penerbangan di Singapura. Beliau telah menghantar kereta ini ke Eropah untuk dibaikpulih setelah tidak berpuas hati dengan hasil baikpulih seorang restorer di Singapura.

Beliau yang merupakan penggemar Mercedes turut memiliki dua buah Mercedes 190SL, Mercedes SL R107 dan juga sebuah Mercedes Pagoda. Walaupun meminati Mercedes, kereta idaman beliau yang masih belum dimilikinya adalah Ferrari Daytona.

Kereta Volvo P1800 tahun 1967 miliknya juga telah dinobatkan sebagai Best of Show untuk acara kali ini.



Selain itu, penulis juga berkesempatan untuk menemuramah warga Singapura yang menetap di Malaysia, Al-Dakshi yang dikenali ramai dalam kalangan penggemar kereta klasik dan vintaj kerana koleksi keretanya yang hebat. Meskipun mempunyai beberapa buah kereta lagi seperti Mercedes 190SL dan Ferrari Dino, beliau hanya mempertaruhkan Jaguar E-Type 1961 untuk dipamerkan pada sesi kali ini.

Ketika ditanya mengenai sejarah Jaguar E-Typenya, beliau menerangkan bahawa E-Type yang mempunyai enjin berkapasiti 3.8 liter ini dibelinya 15 tahun yang lalu ketika beliau berada di England. Kemudiannya dibawa pulang ke Singapura lima tahun kemudian dan didaftarkan disana. Jentera paling seksi ( bak kata Enzo Ferrari ) ini merupakan antara 100 unit terawal yang dikeluarkan oleh Jaguar bagi model E-Type.



Selain deretan kereta Eropah seperti Mercedes, BMW, Volvo dan Jaguar, beberapa buah Muscle Cars seperti Chevrolet Impala dan Chevrolet Monte Carlo juga menarik perhatian ramai. Meskipun penyertaan pada tahun ini agak tinggi, ketiadaan model ikonik lain seperti Ferrari Dino, Lamborghini Countach, Mercedes 190SL, Porsche 356 dan Ford Mustang ternyata mengecewakan penulis.

Kedatangan Duli Yang Teramat Mulia, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris dalam acara ini turut memeriahkan lagi acara berprestij ini. Beliau mengambil kesempatan mencemar duli beramah mesra bersama dengan pemilik-pemilik kereta klasik dan kemudiannya menyerahkan trofi kepada pemenang dalam majlis penyampaian hadiah.



Pada edisi kali ini, dua unit kereta milik Istana Johor telah dipamerkan iaitu McLaren Mercedes SLR dan juga BMW M235i Racing. Tunku Temenggong hadir bagi mewakili Sultan Johor yang merupakan penaung acara ini kerana Baginda Tuanku tidak dapat turut serta disebabkan baru sahaja menjalani pembedahan.











No comments:

Post a Comment