Friday, 9 September 2016

" All-Time Stars " Kini Dijual dari Muzium Mercedes Benz di Stuttgart

ALL-TIME STARS oleh Mercedes Benz
' The Best or Nothing '... Itulah motto yang diilhamkan oleh Gottlieb Daimler, salah seorang pengasas Mercedes Benz yang merupakan rakan seperjuangan Karl Benz. Pada November 2015, Muzium Mercedes telah mengambil satu langkah ke hadapan apabila melancarkan modul perniagaan yang dinamakan " All-Time Stars " bagi menjana pendapatan buat muzium yang terletak di Stuttgart itu.

Muzium Mercedes Benz akan membaikpulih kereta-kereta Mercedes Benz yang lama untuk dijual kembali kepada penggemar kereta klasik terutamanya peminat Mercedes. Inventori untuk kereta-kereta mereka dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Concours Edition, Collectors Edition serta Drivers Edition.

Concours Edition didefinisikan sebagai kereta klasik rare yang mempunyai mileage rendah dan berada dalam keadaan original. Kereta-kereta ini juga telah dibaikpulih secara terperinci oleh pakar kereta klasik Mercedes yang berpangkalan di Fellbach ataupun Stuttgart.



Manakala Collectors Edition pula adalah kereta yang sesuai untuk mereka yang ingin menggunakan kereta klasik sebagai kereta harian. Secara amnya, keadaan teknikal kereta ini berada dalam keadaan baik walaupun berpotensi untuk dibaikpulih secara lebih terperinci lagi. Akhir sekali ialah Drivers Edition yang mana merupakan kereta Mercedes klasik yang kerap ditemui di atas jalan raya tetapi telah dibaikpulih dengan terperinci oleh Mercedes.

Kesemua kereta tersebut perlu melalui hampir 160 pemeriksaan bagi memastikan pembeli mendapatkan maklumat yang tepat mengenai kereta tersebut. Pihak muzium akan memaklumkan kepada pembeli mengenai sejarah komponen alat ganti kereta tersebut ( sama ada original ataupun tidak serta bilakah kali terakhir ia ditukar ) .

Mercedes Benz 600
Mercedes 600 ( W100 ) merupakan salah satu inventori mereka daripada bahagian Concours Edition. Model teragung mereka ini telah dikeluarkan pada tahun 1979 dan hanya mempunyai mileage sebanyak 56,100 km sahaja. Harga yang disenaraikan oleh Mercedes ialah sekitar RM2.47 juta meskipun harga pasaran untuknya adalah sekitar RM650,000 sahaja.

Adakah ia mahal? Sejujurnya agak mahal namun perlu diingatkan bahawa kereta ini mempunyai mileage yang rendah. Dalam tempoh 37 tahun, secara puratanya kereta ini dipandu sebanyak 1,500km sahaja setahun. Andai kenderaan ini berada di Malaysia, ia bermaksud kereta ini dipandu setahun sekali sahaja dari Johor Bharu ke Alor Star dan pulang kembali ke Johor Bharu.

Mercedes Benz 280SE 3.5 Cabriolet
Perkara lain menambahkan lagi premium kereta ini adalah kerana ia hanya dimiliki oleh seorang pemilik sahaja sebelum ini. Terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa buku log kereta ini telah disimpan dengan rapi dan secara tak langsung segala kaitan teknikal kereta ini tercatit di dalam buku log tersebut.

Terakhir sekali, hakikat bahawa kereta ini telah dibaikpulih oleh Muzium Mercedes Benz sendiri sudah pasti merupakan satu kebanggaan buat pemiliknya suatu ketika nanti. " This car was previously restored by Mercedes Benz in Stuttgart " merupakan ungkapan yang membuatkan penggemar-penggemar kereta klasik yang lain terkesima buat seketika.

Kereta lain yang berada dalam koleksi mereka ialah Mercedes Benz 280SE 3.5 Cabriolet, Mercedes Benz 560SEL W126, Mercedes Benz 230CE C123 serta pelbagai model lagi.

Mercedes Benz E500 W124

Sehingga kini, terdapat 26 unit kereta telah dijual oleh muzium ini antaranya Mercedes Benz 190SL, Mercedes Benz 450SEL 6.9 dan Mercedes Benz E500 W124.

Jika anda mempunyai angan-angan untuk memiliki kereta Mercedes lama yang berada dalam keadaan baru seperti keluar dari kilang... Anda boleh layari laman web mereka di [ sini ]

Berikut merupakan gambar-gambar Mercedes E500 ;







* Untuk pengetahuan anda, Mercedes E500/500E merupakan varian paling tinggi untuk model W124. Model berprestasi tinggi ini telah direka dengan kerjasama bersama Porsche. Pengeluarannya memerlukan model ini untuk melalui dua kilang iaitu kilang Porsche di Zuffenhausen dan kilang Mercedes di Sindelfingen.

Jauh ke? Tidak... Kilang Porsche dan Mercedes kedua-duanya terletak di Stuttgart, sebuah bandar di Jerman. Jarak antara dua kilang ini ialah sekitar 30km sahaja di mana kilang Porsche terletak di utara manakala kilang Mercedes terletak di barat daya Stuttgart. 

Model ini menggunakan enjin 5.0 liter V8 yang turut digunakan dalam pengeluaran model SL500 R129. Menurut data, kereta 322 kuasa kuda ini mampu memecut dari titik pegun ke 100km dalam tempoh 6.1 saat. Secara keseluruhannya, sebanyak 10,479 unit varian ini dikeluarkan dan kesemuanya left-hand drive.

No comments:

Post a comment