Saturday, 27 August 2016

Pebble Beach Concours d'Elegance: Lancia Astura 1936 Dinobat Best of Show

Lancia Astura Pinin Farina Cabriolet 1936
Acara kemuncak Minggu Kereta Monterey, California iaitu Pebble Beach Concours d'Elegance yang menampilkan kereta klasik dan vintaj terbaik dari seluruh pelusuk dunia telah berlangsung dengan begitu meriah pada Ahad lalu ( 21 Ogos 2016 ). Lebih 200 unit kereta pelbagai jenama memenuhi ruang lapang di lubang yang ke-17 dan ke-18 padang golf Pebble Beach yang dinamakan sebagai salah satu padang golf tercantik di dunia oleh National Geographic.

Menurut pihak penganjur, sebanyak 228 unit kereta telah menyertai acara ini yang terdiri daripada peserta dari 16 buah negara. Program tahun ini juga mengambil kesempatan untuk meraikan ulangtahun ke-100 BMW, ulangtahun ke-50 pengeluaran Lamborghini Miura serta meraikan kejayaan ke-50 tahun Ford GT40 yang telah memenangi perlumbaan LeMans 24 jam pada 1966.


Apa signifikannya kemenangan Ford GT40 dalam LeMans 24 jam ini? Untuk pengetahuan anda, acara perlumbaan LeMans di Perancis ini merupakan acara perlumbaan tertua di dunia kerana ia telah bermula semenjak tahun 1923 sekaligus menjadikannya sebagai acara perlumbaan paling berprestij pada ketika itu. Ford GT40 merupakan kereta Amerika pertama yang berjaya memecahkan dominasi Ferrari selama lima tahun berturut-turut dari 1960 hingga 1965.

Apa yang lebih membanggakan pihak Ford adalah kesemua pasukan yang menaiki podium merupakan pasukan yang menggunakan Ford GT40 sebagai jentera mereka. Dalam erti kata lain, Ford GT40 telah berjaya memonopoli kedudukan 1-2-3 dalam perlumbaan tahun 1966. Ford GT40 terus mengungguli kejuaraan mereka di LeMans 24 jam sehingga tahun 1969 sebelum tewas pada jentera Porsche pada musim berikutnya.


Anugerah Best of Show pada tahun ini telah dimenangi oleh kereta Lancia Astura Pinin Farina Cabriolet 1936 yang dimiliki Richard Mettei yang berasal dari Arizona. Hanya enam unit model ini telah dikeluarkan oleh pengeluar kereta Itali ini untuk pengedar mereka di Biella, Itali. Menurut pemiliknya, kereta ini pernah suatu ketika dimiliki oleh gitaris terkenal, Eric Clapton yang popular dengan lagu Wonderful Tonight serta Tears in Heaven.

 " Pebble Beach Concours d'Elegance merupakan acara kemuncak Minggu Automotif Pebble Beach. Kita berjaya meraikan kesempuraan dan kemegahan warisan permotoran ( motoring heritage ) ini secara besar-besaran. Penglibatan jenama berprestij Rolex sebagai official timepiece menunjukkan bahawa acara ini merupakan concours yang terbaik di dunia. " ulas pengerusi jawatankuasa acara ini, Sandra Button.

Ferrari 250 GT LWB California Spider Competizione 1959
Bersempena dengan Minggu Kereta Monterey, rumah bidaan terkemuka seperti RM Auction dan Gooding & Co. turut mengambil kesempatan menganjurkan bidaan untuk kereta-kereta ekzotik di sana. Alfa Romeo 8C 290B Lungo Spider by Touring tahun 1936 telah merekodkan bidaan tertinggi buat RM Auction iaitu pada US$19.8 juta ( RM79.93 juta ) manakala  Ferrari 250 GT LWB California Spider Competizione tahun 1959 pula terjual pada US$ 18.15 juta ( RM73.27 juta ) sekaligus menjadikan kereta termahal pada acara lelongan Gooding & Co.

Berikut merupakan beberapa lagi kereta yang terjual pada acara lelongan RM Auction dan Gooding & Co.

1962 Shelby Cobra "CSX 2000" - US$13.75 juta ( RM55.51 juta )
1955 Ferrari 750 Monza Spider by Scaglietti - US$5.225 juta ( RM21.09 juta )
1934 Mercedes Benz 500K Cabriolet A by Sindelfingen - US$1.87 juta ( RM7.55 juta )

1960 Ferrari 250 GT SWB Berlinetta Competizione - US$13.5 juta ( RM54.50 juta )
1933 Alfa Romeo 8C 2300 Monza - US$11.990 juta ( RM48.40 juta )
1932 Bugatti Type 55 Roadster - US$10.4 juta ( RM41.98 juta )

Mercedes-Maybach

Majalah Forbes mendedahkan bahawa kutipan terkumpul hasil bidaan kereta-kereta lelongan ini ialah $246.9 juta ( RM996.74 juta ) yang mana RM Auction telah mengutip US$117.9 juta ( RM475.96 juta ) manakala Gooding & Co. US$129 juta ( RM520.77 juta ). Meskipun kutipan jumlah berkurang sebanyak 14% dari tahun lalu, wakil syarikat insurans, Hagerty menyatakan ianya berpunca daripada beberapa lot bidaan yang tidak terjual kerana tidak melepasi harga simpanan bukannya kerana penurunan harga kereta. Hal ini bagi menepis tanggapan bahawa nilai kereta klasik dan vintaj semakin merudum saban hari.

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil dalam acara ini ;

Ford GT40




Rolls Royce Phantom I 1931
Mercedes Benz 300SL Gullwing 1956


Mercedes Benz 540K Cabriolet 1937
BMW 507 Elvis Presley Roadster 1957
1960 Ferrari 250 GT SWB Scaglietti Berlinetta Competizione 

1963 Aston Martin DB5 Touring Convertible 
Ferrari 330 P4 Drogo Spider 1966
Lamborghini Miura Bertone S Coupe 1971
1975 BMW 3.0 CSL Alexander Calder Race Car 
Gambar oleh Sportscardigest.com

No comments:

Post a comment