![]() |
Lancia Astura Pinin Farina Cabriolet 1936 |
Acara kemuncak Minggu Kereta Monterey, California iaitu Pebble Beach Concours d'Elegance yang menampilkan kereta klasik dan vintaj terbaik dari seluruh pelusuk dunia telah berlangsung dengan begitu meriah pada Ahad lalu ( 21 Ogos 2016 ). Lebih 200 unit kereta pelbagai jenama memenuhi ruang lapang di lubang yang ke-17 dan ke-18 padang golf Pebble Beach yang dinamakan sebagai salah satu padang golf tercantik di dunia oleh National Geographic.
Menurut pihak penganjur, sebanyak 228 unit kereta telah menyertai acara ini yang terdiri daripada peserta dari 16 buah negara. Program tahun ini juga mengambil kesempatan untuk meraikan ulangtahun ke-100 BMW, ulangtahun ke-50 pengeluaran Lamborghini Miura serta meraikan kejayaan ke-50 tahun Ford GT40 yang telah memenangi perlumbaan LeMans 24 jam pada 1966.