Wednesday, 20 July 2016

Byfield Jaguar Jadi Tumpuan Utama di Motor Museum of Western Australia


Kehilangan penulis baru-baru ini daripada dunia Classic Cars Malaysia bermula awal bulan ini didorong oleh kesibukan menyambut Aidilfitri. Disulami dengan kehangatan kejuaraan bola sepak di Eropah membuatkan jadual penulis tidak terurus kerana penulis perlu melakukan persiapan untuk bercuti ke Perth, Australia juga.

Keinginan mendalam ibu penulis untuk melihat Kangaroo yang sinonim dengan Australia menyebabkan penulis mengambil keputusan untuk melawat Whiteman Park. Taman ini terletak 20 minit ke utara Perth dan turut menempatkan Muzium Permotoran Australia Barat.
Dengan kos sebanyak AUD10 ataupun bersamaan dengan RM30, penulis sempat melawat muzium permotoran utama di Barat Australia ini. Untuk pengetahuan anda, muzium ini telah dibuka pada 21 Disember 1994 dan kini menempatkan lebih kurang 40 unit buah kereta klasik dan vintaj serta puluhan buah motosikal.



Salah sebuah kereta yang menarik perhatian penulis adalah Byfield Jaguar V12 HE yang direka sendiri oleh seorang jurutera bernama Cliff Byfield. Kereta yang dibina pada 2003 ini mirip Jaguar XJ220 yang dikeluarkan secara terhad kepada 271 unit sahaja pada awal tahun 90-an. Penulis pada mulanya menyangkakan ia sememangnya sebuah Jaguar XJ220 namun telah dimaklumkan oleh salah seorang sukarelawan di muzium tersebut bahawa kereta ini bukanlah XJ220.

Kereta ini direka khas dengan menggunakan chasis Jaguar XJS dan menggunakan enjin 5.3l V12 yang diletakkan di sebelah belakang seperti mana Jaguar XJ220.

Cliff Byfield merupakan jurutera tersohor di Australia dan terlibat dalam membangunkan kereta sports terbaik ketika itu iaitu Repco Holden bersama David Vandal. Menurut Australia Broadcasting Channel, beliau yang kini berusia 92 tahun telah membina lebih 15 unit kereta sepanjang hayatnya.



Rolls Royce Phantom VI 1974 milik kerajaan Australia yang dipinjamkan kepada muzium tersebut turut menarik minat penulis. Menurut mereka, kereta ini telah dibawa masuk ke Perth pada tahun 1974 untuk kegunaan gabenor Australia Barat. Kereta ini turut digunakan untuk membawa orang-orang kenamaan lain seperti keluarga diraja, pemimpin negara serta perwira-perwira dari negara lain.

Selepas 32 tahun berada di Perth, kereta ini hanya telah dipandu sebanyak 67,000 km dan masih lagi boleh berkhidmat untuk kerajaan Australia kerana ia masih milik kerajaan. Hanya 374 unit kereta ini dihasilkan semenjak ia dikeluarkan daripada tahun 1972 sehingga tahun 1990.


Model yang menjadi game changer dalam industri permotoran iaitu Ford Model T versi ambulan turut menarik perhatian penulis. Ford Model T yang dikeluarkan pada tahun 1917 ini telah dibaikpulih pada tahun 1992 bagi memperingati ulangtahun ke-100 perkhidmatan St. John Ambulance di Australia Barat kerana ia merupakan ambulan bermotor pertama yang digunakan di sana.

Ford Model T boleh dianggap sebagai model legenda sepanjang zaman kerana dari situ bermulanya pengeluaran kereta secara besar-besaran kerana mengaplikasi penghasilan kenderaan menggunakan assembly line. Pengeluaran ini juga membukti teori Adam Smith  mengenai division of labour benar kerana Ford Model T dapat dihasilkan dengan kuantiti yang besar sekaligus meletakkan Henry Ford sebagai salah seorang manusia paling kaya di dunia dengan kekayaan sebanyak RM729 bilion.



Ada juga beberapa buah kereta yang sedia untuk dijual dipamerkan dalam muzium ini seperti Chevrolet Camaro SS ini. Penulis yang mempunyai masa yang terhad tidak sempat bertanyakan mengenai tahun kereta ini dibuat. Namun harga yang ditawarkan dikatakan sekitar AUD100,000 ataupun lebih kurang RM300,000 kerana kereta ini telah dibaikpulih dengan begitu baik tambahan lagi ia merupakan versi super sport.

Menurut pihak muzium, kereta-kereta yang dipamerkan ini hampir separuh daripadanya merupakan milik persendirian bukannya dimiliki oleh pihak muzium. Pemilik-pemilik kereta ini hanya meminjamkan sahaja kereta mereka kepada muzium kerana ia dianggap sebagai satu penghargaan dan penghormatan untuk dipamerkan di dalam muzium.

Bagi memenuhi ruang-ruang kosong di dalam muzium, mereka turut menggalakkan pengumpul-pengumpul collectible dan memorabilia kereta untuk meletakkan koleksi mereka di dalam muzium serta memohon agar setiap kelab-kelab kereta seperti kelab pemilik Rolls Royce untuk menghantar koleksi mereka.



Poster, lencana, replika kereta, papan tanda serta pelbagai lagi barangan berkaitan kereta dipamerkan di dalam muzium ini.

Mereka juga menganjurkan pertunjukan kereta klasik setiap tahun pada hari Ahad minggu keempat pada bulan April di kawasan lapang taman tersebut. Dianggarkan sebanyak 800 buah kereta klasik mengambil bahagian dalam acara ini sekaligus menjadikan ia sebagai acara kereta klasik terbesar di Australia Barat. 

Budaya Memandu Masyarakat Australia


Meskipun penulis berada di sana dalam tempoh yang singkat, penulis amat kagum dengan gaya pemanduan mereka kerana begitu tertib dalam memandu meskipun masih terdapat pemandu-pemandu yang memandu secara melulu dan tidak bertanggungjawab di sana.

Antara dua perkara ketara yang penulis melihat dalam sikap pemanduan mereka adalah sentiasa mendahulukan pejalan kaki. Jika di Malaysia, pemandu-pemandu tidak akan memberikan peluang kepada pejalan kaki selagi pemandu itu merasakan pejalan kaki tidak layak untuk melintas jalan. Namun di sana, pemandu sedia memberhentikan kereta jika mereka melihat pejalan kaki ingin melintas jalan.

Perlu diingatkan juga bahawa pejalan kaki di sana bukanlah seperti di Malaysia kerana kebanyakkan mereka melintas apabila lampu isyarat bertukar merah dan 'orang' bertukar hijau. Di Malaysia, jika kita mempunyai 'urge' ataupun terasa untuk melintas, kita hanya terus melintas dan berdiri di garisan putih andai tidak mampu terus berjalan kerana trafik sedang bergerak.

Satu insiden yang menggagumkan penulis adalah ketika berada di lampu trafik. Penulis yang berhenti di laluan kanan kerana lampu merah melihat sebuah kereta di laluan kiri mengundurkan keretanya dan berada di belakang kereta penulis. Kenapa? Hanya kerana kereta tersebut ingin membelok ke kanan saja... Jika di Malaysia, kita hanya memberikan lampu isyarat ke kanan sahaja dan terus membelok meskipun berada di laluan kiri...

Caj Meletak Kereta Tertinggi



Ketika berada di Perth Central Business District, penulis perlu membayar lebih kurang AUD3 bagi meletak kereta di bahu jalan. Waktu untuk meletak kereta juga terhad kepada sejam sahaja bagi mengurangkan kemasukan kereta ke dalam bandar.

Penulis juga telah diberitahu bahawa caj untuk meletak kereta di Perth Royal Hospital adalah sebanyak AUD17 untuk tempoh tiga jam ataupun bersamaan dengan RM 51.

Adakah ia berjaya?

Yaa... Meskipun Perth mempunyai lebih satu juta penduduk, bandar Perth boleh dianggap sebagai sebuah bandar tenang yang mana kesesakan lalu lintas boleh dianggap sebagai dalam keadaan yang boleh dikawal. Namun perlu diingatkan bahawa sistem pengangkutan awam mereka boleh dikatakan dalam keadaan terbaik kerana pengangkutan bas disana disediakan percuma dibawah sistem Central Area Transit ataupun CAT yang memberi akses kepada kawasan tumpuan di sekitar Perth.

Inisiatif DBKL menaikkan caj meletak kereta di bandar diharap dapat menyelesaikan masalah kesesakan di ibu kota kerana LRT Extended Line juga telah siap. Meskipun naik 150% kepada RM1.50, kadar tersebut boleh dianggap murah kerana di Perth adalah dicaj AUD3. Penulis tidak mahu convert kepada matawang ringgit kerana pendapatan per kapita rakyat Australia dua kali ganda daripada kita...

Tindakan pihak berwajib dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota perlu diambil positif oleh semua pihak dan segala tindakan bagi mendorong penggunaan pengangkutan awam perlu dilakukan kerana ia akan menjadi rumit andai tidak diselesaikan.

Malaysia Perlu ada Muzium Permotoran Sendiri



PROTON, PERODUA serta NAZA merupakan pengeluar kereta di Malaysia dan industri permotoran di negara kita telah berkembang dengan pesat selama ini. Beberapa model Honda dikilangkan di Melaka, Mercedes ada dikilangkan di Pekan. BMW pula ada dikeluarkan di Kedah tetapi amat menyedihkan apabila tidak terdapat muzium permotoran di negara ini tatkala industri ini begitu besar.

Menurut cerita, muzium permotoran di Malaysia telah dirancang  sebagai projek fasa kedua di Sepang selepas pembinaan litar Formula 1. Namun disebabkan kepimpinan negara bertukar tangan, muzium yang dirancang itu tidak menjadi kenyataan seperti mana pembatalan projek Jambatan Bengkok di Singapura serta Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura.

Muzium permotoran yang dirancang ini dikatakan dapat menarik pelancong sebelum mereka pulang ke tanahair kerana ia terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Hal ini penting kerana ia mengumpulkan segala maklumat terperinci mengenai sejarah permotoran di Malaysia semenjak zaman penjajahan British.

Sejujurnya, banyak perkara perlu diperjuangkan bagi meletakkan industri permotoran di suatu tahap yang lebih tinggi. Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah mengangkat Pameran Motor Antarabangsa setanding dengan Frankfurt, Geneva serta Tokyo Motorshow.

Berikut merupakan gambar-gambar yang diambil di sana ;


Byfield Jaguar 2003



MG MGB 1968


Rolls Royce Phantom VI 1974 

1963 Standard Vanguard Estate 

1961 MG MGA Roadster

1929 Packard 633 Roadster

Ford Model T Coupe
Chevrolet Camaro SS




No comments:

Post a comment