Thursday, 9 June 2016

Setelah Rentas Amerika dan Jelajah Sahara, Dato' Sia dan Eric Sia Bersedia untuk Peking ke Paris ( BHG.II )

Eric Sia Kuan Rong berkongsikan pengalaman sebagai pemandu arah

Pemandu-arah ( navigator ) untuk satu-satunya gandingan dari Malaysia iaitu Eric Sia Kuan Rong yang merupakan anak kepada Dato' Sia juga tidak terlepas dari ditemuramah oleh pihak Classic Cars Malaysia.

Berusia hanya 30 tahun ketika menyertai rali Trans-America, penulis bertanyakan kepadanya apakah perasaan beliau ketika bapanya ( Dato' Sia Hok Kiang ) mengajaknya untuk menyertai rali Trans-Amerika.

" Ayah saya ada kecenderungan untuk membuat kejutan terhadap saya. Dia seseorang yang gemarkan kereta. Apabila dia mula membeli dan memulihara ( restore ) kereta, saya dah dapat agak dah bahawa perkara seperti ini akan berlaku. Namun tidak pasti bila. Tiba-tiba satu hari dia beritahu saya " Let's do the Peking to Paris ". Maka saya dan ibu saya cuba meyakinkan dia supaya berlatih dahulu. Bukan bermakna saya yang perlu pergi, bahkan sebelum itu beliau bercadang untuk mengambil pengurus saya di Australia sebagai pemandu-arah. Tetapi ibu saya beritahu saya bahawa ini peluang terbaik untuk meluangkan masa bersama ayah saya. Ketika kami membesar, dia sorang yang kuat bekerja dan kami jarang bergaul bersama. Bagi saya, ini masa terbaik untuk kami menghabiskan masa dengan melakukan sesuatu bersama. "



Beliau juga ada berkata di dalam rali, beliau antara peserta yang termuda tetapi bukan pada setiap masa. Antara cabaran dalam menyertai rali seperti ini adalah anda perlu bersama untuk lebih 20 hari pada setiap masa. Ini sesuatu sukar bahkan beliau menyatakan bahawa di dalam rali Trans-Amerika, terdapat peserta yang mengambil keputusan untuk tidur di bilik berasingan mungkin kerana perselisihan faham.

Pada hari pertama rali bermula, pemandu arah akan diberikan sebuah buku yang mengandungi arahan kepada peserta. Pemandu arah perlu menyatakan arahan tersebut kepada pemandu secara jelas selain turut berperanan untuk menjaga masa dalam konteks kelajuan dan sebagainya.

" Buku itu ditulis setahun awal dari tarikh rali bermula, mungkin ada perbezaan namun pihak penganjur agak maklumkan setiap pagi sebelum tayar berjalan. Jikalau kami tersilap jalan, kami akan jejak kembali laluan yang kami lalui sebelum ini dan teruskan perjalanan " kata beliau apabila ditanya mengenai kemungkinan tersesat jalan.

Penulis ada bertanya adakah sah ( legitimate ) untuk menggunakan GPS dalam rali. Beliau menerangkan bahawa ia bukan suatu masalah namun perlu disedari bahawa kebanyakkan jalannya off-road yang mana mungkin tiada dalam GPS.



Kami turut berkesempatan bertanyakan mengenai kos penyertaan untuk rali seperti ini. Dato' Sia menjelaskan bahawa kos penyertaan untuk Trans-Amerika berjumlah RM120,000 ( GBP20,000 ) manakala untuk Peking to Paris ialah RM240,000 ( GBP40,000 ). Kos termasuk penginapan, makan malam dan sarapan pagi di hotel serta kru sokongan kereta anda mengalami masalah.

Namun peserta juga perlu berbelanja tinggi dalam konteks mempersiapkan kereta supaya dapat mengakhiri persaingan sehingga ke garisan penamat. Kos shipping dan minyak, insurans dan sebagainya juga perlu ditanggung sendiri oleh peserta.

Berikut merupakan nasihat beliau kepada mana-mana individu yang berminat untuk menyertai rali seperti ini ;

" Pertama anda perlu mempunyai kereta klasik dan vintaj yang reliable. Anda perlu mempersiapkan kereta tersebut berdasarkan kehendak rali yang anda akan sertai. Anda juga perlu ada sokongan teknikal sama ada anda memiliki sebuah bengkel ataupun seseorang yang rapat dengan anda untuk menjaga kereta anda. Anda tidak boleh rasa sayang yang kereta anda akan rosak. Apa yang penting adalah kereta anda disiapkan mengikut jalan yang akan dilalui selain berlatih menggunakan roadbook. Pengetahuan mekanikal serta kemahiran memandu juga amat membantu anda dalam rali "
Di garisan penamat ketika menyempurnakan Trans-America Rally

Ketika ditanya mengenai industri kereta klasik, beliau menyuarakan kerisauan terhadap penyusutan matawang ringgit yang menyukarkan penggemar kereta klasik dan vintaj untuk mengimport kereta kerana kos yang tinggi. Beliau juga menegaskan mungkin terdapat kecendurungan daripada pemilik kereta klasik dan vintaj yang bernilai tinggi untuk mengeksport keluar kereta kerana ia menguntungkan apabila ditukarkan matawang USD ke RM. Meskipun begitu, individu berasal dari Batu Pahat, Johor ini yakin bahawa dengan publisiti  yang berterusan serta apabila ekonomi semakin pulih, industri ini akan bertambah baik.

Setelah berjaya menamatkan saingan dalam dua rali yang lepas menggunakan Rolls Royce Phantom II 1934 serta Mercedes Benz 300d Adenauer 1961, Gandingan Dato' Sia dan Eric Sia akan sekali lagi mencipta nama apabila akan menyertai rali Peking ( Beijing ) to Paris pada 12 Jun 2016 ini.

Rali yang dianjurkan oleh ERA ini akan memakan masa selama 36 hari di mana mereka akan merentas 11 buah negara untuk menamatkan saingan sejauh 13,695 km. Seramai 110 pasukan dari pelbagai negara akan menyertai saingan yang akan berakhir pada 17 Julai ini.

Untuk pengetahuan anda, Sultan Selangor bersama Dato' Richard Curtis ( Pengarah Urusan Cahya Mata Sarawak ) telah berjaya menamatkan rali ini sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1997 dan kali terakhir pada tahun 2007. Pada tahun lalu, mereka berdua juga telah menamatkan rali Road to Mandalay yang turut disertai oleh menantu dan anak saudaranya iaitu Aubry Mennesson serta Syed Haizam.

Kami dari pihak Classic Cars Malaysia ingin mengucapkan selamat jalan buat gandingan Dato' Sia Hok Kiang dan Eric Sia Kuan Rong yang akan menjadi pasukan tunggal dari Malaysia. Kami berharap Rolls Royce Phantom II yang membawa nama Malaysia di dalam rali kereta klasik paling berprestij dapat menamatkan saingan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Kami juga berharap kerajaan Malaysia supaya memberikan sokongan sepatutnya kepada gandingan anak beranak ini kerana mereka membawa bendera Malaysia ke dalam rali ini. Media massa juga diharapkan dapat memberikan liputan terhadap usaha ini kerana ia suatu kebanggaan yang perlu diraikan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya penggemar automotif.




P/S: 

Anda pasti sedar bahawa di dalam artikel ini kami tidak menerangkan dengan mendalam mengenai jentera Rolls Royce Phantom II 1934 yang akan digunakan dalam rali Peking to Paris ini. Sebenarnya kami telah menyediakan sebuah video khas mengenai 'Brumby' yang diterangkan sendiri oleh pemiliknya secara terperinci.

** Dato' Sia Hok Kiang bersama anaknya Eric kini telah berada di Beijing, China untuk persiapan Peking to Paris yang akan bermula tidak lama lagi.

Anda boleh mengikuti perkembangan rali Dato' Sia serta Eric Sia di  page rasmi mereka di Facebook - [ klik sini ].

No comments:

Post a Comment