Wednesday, 1 June 2016

Setelah Rentas Amerika dan Jelajah Sahara, Dato' Sia dan Eric Sia Bersedia untuk Peking ke Paris ( BHG.I )

Dato' Sia dan Eric Sia bersama Rolls Royce Phantom II 1934
Nama Dato’ Sia Hok Kiang mungkin tidak asing lagi dalam dunia perniagaan terutamanya dalam bidang perlombongan. Namun, teknokrat ini sedang mencipta nama dalam pentas automotif di peringkat antarabangsa apabila telah melibatkan diri dalam rali terkemuka dunia anjuran Endurance Rally Association ( ERA ) bersama anaknya, Eric Sia Kuan Rong sebagai navigator ataupun pemandu arah.

Penulis yang kagum dengan stiker Jalur Gemilang yang dilekatkan di badan Rolls Royce Phantom II ketika melihat gambar-gambar yang diambil oleh pasangan anak beranak ini ketika rali Trans-Amerika terus menghubungi mereka berdua untuk ditemu ramah. Disebabkan komitmen masing-masing, temu ramah ini terpaksa ditunda beberapa kali sebelum akhirnya terlaksana pada pertengahan April yang lalu di rumah beliau yang terletak di Sungai Buloh.

Rali Trans Amerika sejauh 9,500 km merupakan rali pertama yang disertai oleh mereka berdua yang mana mereka telah merentas Amerika Syarikat daripada Halifax ke San Franscisco selama 22 hari dari 6 Jun 2015 hingga 28 Jun 2015. Sebanyak 45 buah kereta turut menyertai rali ini yang mana Rolls Royce Phantom II tahun 1934 milik Dato' Sia merupakan salah satu daripada enam unit kereta pre-war ( sebelum 1948 ) yang mengikuti rali ini.

Dengan kereta berusia 81 tahun ketika itu tanpa pemandu dan navigator yang berpengalaman. Mereka berdua berjaya menamatkan rali ini dan telah berjaya meraih anugerah khas Spirit of the Rally. Sesuatu pengiktirafan yang menggagumkan bagi peserta yang pertama kali masuk bertanding. Di dalam ini juga, jentera yang diguna pakai oleh Dato' Sia merupakan kereta paling besar kapasiti enjinnya iaitu sebesar 7688cc.

Dalam erti kata lain, Dato' Sia perlu membayar RM23,136.00 setahun untuk cukai jalan keretanya jika beliau tidak memohon pengurangan cukai kereta klasik sebanyak 90% bagi kereta yang berusia 50 tahun ke atas.



Kemudiannya pada Oktober tahun yang sama, pasangan anak beranak merentas Sahara selama 10 hari dari Maghribi ( Morocco ) ke Sepanyol yang menyaksikan mereka berjaya menamatkan rali The Sahara Challenge sejauh lebih 3,570 km ini. Disebabkan perjalanan pulang Rolls Royce Phantom II memakan masa yang lama dari San Franscisco ke Pelabuhan Klang, mereka mengambil keputusan untuk menyertai rali ini menggunakan sebuah lagi kereta vintaj milik mereka iaitu Mercedes Benz 300d Adenauer tahun 1961.

Perjalanan dari Toledo, Sepanyol hingga ke Marakkesh, Maghribi turut disertai 36 unit kereta yang lain dari pelbagai negara. Dato' Sia dan anaknya Eric Sia merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia dan jika menurut senarai peserta yang dipaparkan di laman web ERA, mereka mungkin juga satu-satunya peserta dari Asia.

Ketika ditanya mengenai minat terhadap kereta terutamanya kereta klasik, Dato' Sia menegaskan bahawa ia bermula semenjak kecil ketika di kampung. " secara umumnya, semua orang sukakan kereta, kereta merupakan keperluan asas sebagai alat pengangkutan. The car will set a man free, you can go anywhere you like " katanya.

Menurut beliau lagi, beliau mula membeli kereta iaitu Toyota Cressida apabila abangnya memberikannya pinjaman. Semenjak itu, beliau tidak pernah membeli kereta baharu sebaliknya semua kereta yang dibelinya merupakan kereta terpakai. Beliau turut pernah memiliki Sunbeam Alpine selain kereta continental yang lain seperti Range Rover dan juga Jaguar S-Type.

Wang bukanlah satu masalah bagi Dato' Sia dan keluarganya... Hal itu membangkitkan persoalan di minda penulis terhadap beliau kerana boleh sahaja beliau mengembara ke serata dunia dengan menaiki Rolls Royce Phantom yang baru tetapi mengapa beliau memilih untuk menjelajah dengan sebuah Rolls Royce Phantom II yang pasti akan membuatkan mereka berdua berpeluh tatkala memandu di siang hari.




Soalan ini penulis tujukan kepada beliau dan ini jawapan beliau ;

" Hal yang mustahak dalam isu ini adalah sense of achievement , untuk mencapai sesuatu, ia memerlukan cabaran. Jika anda mencapai sesuatu dengan senang maka nikmat kejayaan itu akan rendah. Kereta klasik menggunakan teknologi lama, tidak perlu dipersoalkan mengenai keselesaan bahkan ia tidak mempunyai reliability yang baik. Jadi, cabaran terbesarnya adalah memastikan kereta ini terus berjalan di atas jalan raya. Anda perlu melalui jalan sejauh beribu-ribu kilometer tanpa henti. Anda perlu menghabiskan perjalanan anda. Laluan yang dilalui pula off road bukannya highway. Cabaran berada di sepanjang jalan. Kalau anda memandu kereta baru sekalipun, belum tentu anda dapat menghabiskan cabaran anda. Dengan memandu kereta vintaj dalam rali kereta klasik seperti ini, the sense of achievement itu amat hebat.
Saya ambil perkara ini sebagai salah satu falsafah hidup. Bila anda menetapkan sasaran, anda akan melakukan sedaya upaya itu mencapainya. Bila saya sertai rali ini, saya ingin tamatkan rali ini. Ia bukannya blind passion. Anda perlu melakukan persiapan dan meletakkan sepenuh perhatian terhadap perkara ini selain melihat masalah-masalah yang anda mungkin perlu hadapi ketika rali. Ia sama seperti dunia sosial ataupun dunia perniagaan. Jika anda ingin mencapai sesuatu, anda perlukan persiapan dan melakukan kerja. "

Ketika ditanya soal persiapan, beliau menjelaskan supaya melakukan persiapan asas terutamanya pada bahagian mekanikal seperti enjin dan piston. Suspensi juga perlu dititikberatkan. Untuk menyertai sesebuah rali, adalah amat penting bagi peserta untuk mengkaji jenis laluan yang akan dilalui sama ada berbukit bukau, berpasir ataupun perlu meredah sungai. Hal ini bagi membolehkan anda membuat pilihan tayar yang tepat selain jika anda perlu meredah sungai, anda perlu memastikan alatan eletktrik anda berada dalam keadaan kedap air. Jika anda melalui kawasan berpasir seperti di Sahara Challenge, pengalaman memandu four wheel drive amat membantu. 

Beliau menegaskan dalam rali ini, perkara penting untuk menamatkan rali adalah kerjasama antara pemandu dan navigator ( pemandu arah ). Navigator perlu memberikan arahan yang tepat dan memastikan pemandu memandu dalam kelajuan yang sepatutnya. Kepentingan kerjasama antara kedua-dua belah pihak merupakan perkara pertama yang saya sedar apabila menyertai rali ini.

Beliau juga kagum dengan penyertaan warga tua dalam rali seperti ini.

" Ketika di Trans-Am, saya berusia 59 tahun dan membawa anak saya, Eric. Saya agak bangga apabila dapat menamatkan rali ini walaupun dikira agak tua. Selepas itu saya jumpa Alastair Caldwell, bekas pengurus pasukan McLaren F1 dari tahun 1974 hingga 1978. Umurnya 75 tahun. Saya respek kerana dapat menamatkan lebih 9000km perjalanan. Saya 59 tahun dan bawa anak saya sebagai navigator. Dia 75 dan dia bawa ibunya yang berusia 95 tahun sebagai navigator. Ia memberikan saya inspirasi kerana wanita itu dapat menjalankan tugas sebagai pemandu arah pada usia seperti itu. Bahkan untuk hanya duduk di dalam kereta untuk perjalanan sejauh 9,000km adalah sesuatu yang luar biasa. Saya betul-betul hormati perkara itu "


Bercerita mengenai masalah yang dihadapi sepanjang rali Trans-America ini, beliau menyatakan bahawa cara menyelesaikan masalah bergantung kepada kebolehan merancang. Mereka mempunyai perancangan logistik yang baik iaitu mereka dapat memperoleh alat ganti dalam tempoh 24 jam seandainya kereta mereka rosak. Perkara tersebut agak menggagumkan kerana mereka berjaya mendapatkan keperluan logistik bagi sebuah kereta berusia 81 tahun

" Seperti di dalam kehidupan juga, mereka mungkin fikir yang kita melakukan sesuatu perkara dengan membuta tuli sahaja. Namun tidak, kita telah merancang seandainya perkara ini berlaku " katanya lagi

Beliau turut berkongsikan pengalaman ketika di Trans-Amerika dimana pushrod Rolls Royce Phantom II telah patah menyebabkan dua piston tidak berfungsi. Mereka terpaksa menghentikan kereta di tepi jalan dan membayangkan bahawa mereka perlu menarik diri dari meneruskan saingan. Mujur kru bantuan rasmi ( official support crew ) datang membantu mencabut dua piston terbabit sekaligus membolehkan mereka meneruskan perjalanan dengan empat piston. Mereka terpaksa mengetepikan acara khas dan terus ke checkpoint yang menyebabkan mereka dikenakan penalti 3 jam. 

" Ia merupakan detik yang menggembirakan, rasa muram bertukar menjadi gembira anda berjaya meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir. Ketika kami sampai, acara barbeque untuk peserta-peserta lain hampir selesai namun mereka memberikan standing ovation buat kami. "
Mercedes Benz 300d Adenauer pada jelajah The Sahara Challenge

Mengenai Sahara Challenge, beliau menyatakan bahawa ia merupakan pelan last minute kerana terdapat peserta yang menarik diri. Mereka memilih Mercedes 300d Adenauer kerana Rolls Royce Phantom II masih berada di atas kapal dan hanya memperkukuhkan absorber sahaja sebagai persiapan untuk menyertai rali ini. 

Masalah dengan Mercedes 300d Adenauer ini adalah tidak mempunyai daya tujahan untuk mendaki kerana model ini merupakan antara keluaran awal bagi transmisi automatik. Hal ini memberikan masalah untuk mereka mendaki bukit ataupun memulakan perjalanan terutamanya di Andalusia, Sepanyol. Meskipun begitu, mereka antara 5 buah kereta yang tidak tenggelam dalam pasir ketika melalui kawasan gurun. 
" Banyak kereta yang tenggelam sama ada disebabkan mereka tidak berpengalaman ataupun tayar terlalu rendah. Saya memusingkan tayar ke kiri dan kanan untuk memberikan lebih cengkaman. Ia merupakan teknik four wheel drive "
" Di akhir perjalanan, kami melalui jalan beralun yang menyebabkan berlaku banyak hentakan. Benda ini merosakkan suspensi belakang kami. Namun begitu, kami berjaya menamatkan rali ini dengan selamat walaupun tanpa suspensi belakang kami kerana tiada siapa yang boleh baiki bahagian tersebut " katanya lagi.

Bahagian II untuk artikel ini akan disiarkan pada 8 Jun 2016 tepat jam 8 malam. Artikel tersebut akan merangkumi perkongsian Eric Sia sebagai pemandu arah, sejarah kereta tersebut serta beberapa hal lagi berkaitan kereta klasik dan vintaj.

Anda juga boleh mengikuti perkembangan Dato' Sia dan anaknya di page Facebooknya. [ klik sini ]

Kami tinggalkan anda dengan video komprehensif mengenai pengalaman mereka di dalam dua rali tersebut ;






Photo by Afiq Nasir


No comments:

Post a comment