Wednesday, 6 April 2016

PROTON DAN KITA


PROTON DAN KITA

1. Kempen Buy British Last merupakan satu dasar kerajaan Malaysia terhadap British gara-gara tindakan PNB yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan Dawn Raid ( Serangan Subuh ) di Bursa Saham London bagi mengambil alih syarikat Guthrie. Meskipun tindakan tersebut sah mengikut undang-undang, kerajaan British begitu marah terhadap Malaysia kerana syarikat perladangan terbesar di dunia itu jatuh ke tangan Malaysia hanya dalam tempoh 4 jam pada September 1981.

2. Kerajaan British telah memberi reaksi balas terhadap tindakan tersebut dengan menaikkan kadar yuran pelajaran di United Kingdom sebanyak tiga kali ganda sekaligus memberi kesan terhadap kerajaan Malaysia yang sedang menaja 13,000 pelajar Malaysia di sana.

3. Bagi meneruskan reaksi protes terhadap kerajaan British, Tun Dr. Mahathir telah memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada Februari 1982.  Malaysia telah mengambil kesempatan untuk melakukan pemindahan teknologi Jepun yang terkenal dengan kemajuan sektor perindustrian dengan melancarkan jenama kereta nasional pada tahun 1983.

4. Meskipun majoriti kandungan pembuatan PROTON Saga yang dikeluarkan pada tahun 1984 terdiri dari kandungan luar, ia merupakan titik penting dalam industri permotoran negara kerana telah memberikan peluang buat rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah kereta baru pada harga yang mampu milik. Kembali kepada zaman 60-an sehingga 80-an, rakyat Malaysia kebiasaannya memandu sebuah kereta Jepun terpakai hasil daripada pengeluaran permit import kereta oleh kerajaan Malaysia terhadap pengimport Melayu selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 bagi menambahkan lagi ekuiti Bumiputera dalam pasaran bermotor.




5. Tun Dr. Mahathir yang baru sahaja meletak jawatan sebagai pengerusi PROTON telah mendedahkan terdapat 12,000 orang pekerja yang bekerja secara langsung dengan PROTON dan 250,000 orang bekerja yang membabitkan PROTON secara tidak langsung. Beliau juga mendedahkan fakta bahawa PROTON telah menyumbang lebih kurang RM 24 bilion kepada kerajaan dalam bentuk pembayaran cukai sedangkan geran dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada PROTON hanyalah RM14 bilion.

Manfaat yang diperoleh hasil kewujudan syarikat PROTON seperti pemindahan teknologi serta peningkatan kepakaran dalam bidang automotif tidak didedahkan oleh pihak Tun Mahathir. Begitu juga jumlah wang yang dapat diselamatkan daripada mengalir keluar dari Malaysia turut tidak dinyatakan. Andai kata setiap unit PROTON berjumlah RM30,000, PROTON dianggarkan telah berjaya menghalang kira-kira RM120 bilion daripada mengalir keluar dengan anggaran 4 juta unit PROTON telah terjual.

6. Dalam ekonomi, meskipun sesebuah syarikat itu mengalami kerugian, namun manfaat yang terhasil daripada operasi syarikat tersebut dapat dinikmati oleh ramai pihak. Ambil sahaja Syarikat Kereta Api Tanah Melayu, disebalik kerugian RM200 juta pada tahun 2015, operasinya perlu tetap diteruskan kerana terdapat penjimatan dari sektor masa, wang ringgit, serta produktiviti pekerja yang mungkin melebihi kerugian RM 200 juta yang ditanggung KTMB.

7. Adakah Syarikat KTMB perlu diserang oleh kerajaan kerana tidak efficient dalam operasi mereka sehingga rugi RM200 juta setahun. Untuk pengetahuan anda, KTMB telah rugi sebanyak RM 897 juta dari tahun 2001 hingga 2008. 

8. Begitu juga dengan penganjuran F1 di Malaysia, meskipun Sepang International Circuit seringkali terkesan dengan pengurangan penonton akibat penyertaan Singapura dalam kalendar F1, acara ini tetap terus diadakan bahkan pada tahun 2015 ia dilanjutkan lagi untuk tempoh tiga tahun dengan persetujuan supremo F1, Bernie Ecclestone.

9. Walaupun tidak diketahui berapa kerajaan Malaysia rugi terhadap pengajuran ini, sektor pelancongan serta hak iklan telah berjaya menampung kerugian langsung dari penganjuran ini. Tidak dapat didedahkan berapa jumlah kos yang ditanggung untuk penganjuran acara berprestij ini, tetapi Singapura telah membelanjakan lebih Rm300 juta untuk perlumbaan di tengah bandaraya tersebut setiap tahun. Anggaran untuk perbelanjaan di SIC dijangka berkurang kerana kita menggunakan litar yang tetap dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi SIC.




10. Begitu juga Malaysia Airline yang telah mencatatkan kerugian terkumpul berbilion semenjak tahun 2011. Mengapakah tiada respon yang serupa ditujukan kepada pengurusan MAS sehingga terpaksa mengorbankan posisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif  sebuah entiti kebangaan negara kepada warga asing. Individu yang bertanggungjawab mengakibatkan MAS kerugian RM2.5 bilion pada tahun 2011 kemudiannya dipilih untuk menjawat jawatan pengarah di Khazanah.

11. Adakah syarikat-syarikat ini tidak menggunakan wang rakyat untuk dibailoutkan ? RM 6 bilion wang pembayar cukai terpaksa dibelanjakan bagi penstrukturan semula Malaysia Airline dan 6,000 orang pekerja diberhentikan gara-gara ketidakcekapan pengurusan. Namun tiada suara daripada Menteri kabinet yang memberikan respon senada dengan isu ini.

12. Sejujurnya, kenyataan beberapa menteri kabinet belakangan ini sejurus peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai pengerusi PROTON adalah amat mengecewakan dan bermotifkan dendam politik. Tidak dapat dinafikan bahawa PROTON merupakan entiti yang masih bergelut untuk kekal relevan di dalam pasaran. Namun kenyataan menghentam PROTON seakan-akan ia sebuah projek yang menelan wang rakyat dengan kenyataan melibatkan angka berbilion ringgit merupakan satu tindakan tidak patriotik dan tidak membina.

13. Ingin ditegaskan bahawa prestij jenama Mercedes Benz tidak terhasil dalam tempoh 30 tahun tetapi memakan masa hampir 70 tahun sehingga ia mencapai zaman kemuncak kegemilangannya pada tahun 1955 dengan pengeluaran model ikonik 300SL Gullwing.




14. Syarikat-syarikat pengeluar kereta terbesar yang lain seperti General Motors, Volkswagen dan Toyota juga merupakan sebuah entiti yang telah wujud sebelum tahun 1940-an lagi. Justeru, untuk membandingkan perkembangan jenama kereta dari negara yang telah indusrialised sebelum kita Merdeka amatlah tidak masuk akal.  Mungkin tempoh 20 tahun lagi perlu diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap PROTON sama ada ia sebuah idea yang berjaya ataupun hanya sebuah idea yang merugikan rakyat Malaysia dari menikmati kenderaan import pada harga yang lebih murah. Apa-apa pun, PROTON perlu terus kompetitif untuk kekal relevan dalam bersaing dalam pasaran terbuka.

15. PROTON bukanlah sebuah syarikat yang mempunyai prestasi memberangsangkan namun kesungguhan syarikat automotif untuk terus berdaya saing adalah sesuatu yang amat membanggakan. Sekurang-kurangnya PROTON tidak menjadi punca kemerosotan matawang ringgit seperti mana 1MDB. Sekurang-kurang PROTON tidak menjual kepentingan negara kepada negara luar seperti mana 1MDB menjual 14% penjanaan kuasa elektrik kepada China. Sekurang-kurangnya PROTON tidak mengaitkan isu korupsi melibatkan kepimpinan peringkat tertinggi yang telah mencemarkan nama baik negara di mata dunia seperti mana 1MDB yang hanya baru beroperasi selama 8 tahun.

Dimanakah suara Dato Seri Mustapha Mohamed?
Dimanakah suara Dato Seri Hamzah Zainuddin?
Dimanakah suara Dato Seri Salleh Said Keruak?




16. Kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri kabinet jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai agenda terancang dalam merosakkan kredibiliti dan legasi yang diwujudkan ketika zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir bukannya untuk mengetengahkan kepentingan rakyat. 

17. Akhir kalam... Cukup-cukuplah memberikan kenyataan kurang bijak bagi menunjukkan sokongan dan dokongan anda terhadap pemerintahan sedia ada. 

-Classic Cars Malaysia-

1 comment:

  1. Mengikut Eksekutif Program Kenderaan (Bahagian Kejuruteraan) untuk Proton Saga , Desmond John Pinto, pasukan kejuruteraan Proton telah melabur dalam memastikan transmisi baru sesuai dengan enjin VVT empat silinder semulajadi berasaskan 1.3 liter.

    ReplyDelete