Friday, 12 February 2016

Acara Lelongan RM Sotheby's : Mercedes Benz 540K 1937 Terjual pada Harga RM41 juta

Mercedes Benz 540K 1937
Syarikat lelongan kereta klasik tersohor dunia, RM Sotheby's yang sebelum ini dikenali sebagai RM Auction telah menjalankan acara lelongan yang pertama tahun ini di Arizona, Amerika Syarikat pada 28 dan 29 Januari 2016. Acara yang ditunggu-tunggu ramai pihak ini telah berjaya menarik ramai pembida dari lebih 20 negara untuk membida 149 unit kereta dalam acara lelongan ini.

Menurut RM Sotheby's, hampir 85% lot lelongan telah terjual dengan jumlah jualan sebanyak $62.8 juta ( RM 261.5 juta ). Lot 242 iaitu Mercedes Benz 540K tahun 1937 telah mencipta rekod jualan tertinggi pada acara ini apabila terjual pada harga $9.9 juta. Kereta ini dipercayai hanya dipandu sekitar 10,000 batu semenjak ia dikeluarkan dan merupakan salah sebuah unit yang dikeluarkan oleh Mercedes yang hanya mengeluarkan sebanyak 419 unit chasis sahaja sekaligus menjadikan model 540K sebagai salah sebuah model paling berprestij yang pernah dihasilkan oleh Mercedes Benz.


Selain itu, Mercedes Benz 300SL Gullwing 1955 yang terkenal sebagai ikon kereta klasik dan vintaj Jerman turut terjual dalam acara lelongan ini pada harga RM4.78 juta. Manakala Mercedes Benz 300SL Roadster tahun 1957 pula telah dibida pada harga RM3.88 juta.

Duesenberg Model J Top Torpedo Coupe 1929
Duesenberg Model J Top Torpedo Coupe oleh Murphy tahun 1929 iaitu sebuah kereta keluaran syarikat pengeluar kereta mewah dan sports Amerika ini turut dibida pada harga setinggi RM12.48 juta. Model ini hanya dikeluarkan sebanyak 6 unit oleh Duesenberg dan dianggap sebagai model terbaik dalam senarai kereta keluaran Duesnberg yang beroperasi selama 24 tahun dari tahun 1913 hingga 1937.

Meskipun acara lelongan ini dimonopoli oleh kereta-kereta klasik dan vintaj, beberapa kereta supercar yang tersenarai dalam senarai untuk bidaan juga terjual dalam proses lelongan selama dua hari ini. Antara kereta supercar yang dijual hasil bidaan ialah Saleen S7 Twin Turbo Package 2007 ( RM2.2 juta ), Jaguar XJ220 1994 ( RM1.59 juta ), Ferrari 575 Superamerica 2005 ( RM2.8 juta ) dan Porsche 918 Spyder 2015 ( RM6.57 juta ).

Shelby Cobra 427 Competition 1965

Berikut merupakan senarai lot yang terjual mengikut harga bidaan tertinggi ;

1. 1937 Mercedes-Benz 540 K Special Roadster (Chassis 130894) – RM41 juta

2. 1929 Duesenberg Model J Disappearing Top Torpedo Convertible (Chassis 2199) – RM12.48 juta

3. 1965 Shelby Cobra 427 Competition Roadster (Chassis CSX 3010) – RM9.3 juta

4. 1965 Ferrari 275 GTB Coupe (Chassis 07053) – RM8.72 juta

5. 1972 Lamborghini Miura P400 SV Coupe (Chassis 4912) – RM 8.27 juta

6. 1965 Ferrari 275 GTS (Chassis 07935) – RM7.28 juta

7. 1960 Ferrari 250 GT Pinin Farina Cabriolet Series II (Chassis 2153 GT) – RM6.82 juta

8. 2015 Porsche 918 Weissach Spyder (Chassis WP0CA2A13FS800804) – RM6.6 juta

9. 1962 Maserati 5000 GT Allemano Coupe (Chassis AM103 040) – RM6.37 juta

10. 1953 Cadillac Series 62 Coupe (Chassis 536253053) – RM5.91 juta

No comments:

Post a comment