Saturday, 30 January 2016

Tiga Ikon Terkenal yang Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya


Tahukah anda bahawa kemalangan jalan raya merupakan antara pembunuh utama rakyat Malaysia selepas masalah jantung, strok, influenza dan pneumonia. Hasil kajian itu didedahkan melalui laman web worldlifeexpectantcy.com yang mengambil data dari World Health Organization ( WHO ) pada tahun 2014.

Statistik menunjukkan pada tahun tersebut, 6,813 orang maut dalam kemalangan jalan raya yang menyumbang kepada 5.36% dari keseluruhan sebab rakyat Malaysia maut. Malaysia mencatatkan kadar kematian jalan raya yang agak tinggi iaitu 25.25 bagi setiap 100,000 orang, lebih tinggi dari purata global iaitu 18  bagi setiap 100,000 orang ( 2015 ) .


Kadar kematian yang tinggi ini menyebabkan Malaysia tersenarai di kedudukan ke-34 setanding dengan negara-negara mundur yang lain seperti Liberia dan Kenya. Iran dan Iraq menduduki tangga teratas dengan kadar kematian bagi setiap 100,000 orang seramai 43.54 dan 41.41 orang. Manakala negara-negara maju seperti Jepun (3.28) , United Kingdom (2.97),  Norway (2.86) dan Sweden (2.36) tersenarai sebagai negara paling selamat dengan purata kematian setiap 100,000 kurang daripada 4 orang.

Porsche Carrera GT yang dinaiki Paul Walker bersama rakannya

Antara ikon terkenal yang maut dalam kemalangan jalan raya ialah pelakon Hollywood terkenal, Paul Walker. Beliau yang terkenal dengan watak Brian O' Conner dalam francais filem Fast & Furious maut apabila Porsche Carrera GT yang dipandu rakannya, Roger Rodas merempuh tiang lampu elektrik serta dua pokok pada 30 November 2013. Mereka berdua yang sedang dalam perjalanan pulang dari acara amal untuk mangsa taufan Haiyan, Filipina mati serta merta di Valencia, Santa Clarita, California.

Laporan koroner menyatakan bahawa kereta Porsche Carrera GT itu berkemungkinan dipandu selaju 160km/sejam sebelum hilang kawalan. Pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang kerosakan teknikal pada kereta ataupun jalan raya. Bahkan kedua-dua mereka juga dilaporkan bebas dari sebarang unsur alkohol ketika itu. Polis juga melanjutkan siasatan untuk mengenalpasti jika terdapat perlumbaan haram ( drag race ) berlangsung ketika itu namun tidak dapat mencari kereta yang bersaing.

Pada September 2015, anak Paul Walker memfailkan kes ke mahkamah terhadap Porsche kerana mendakwa Porsche Carrera GT itu mempunyai beberapa kelemahan. Peguam yang mewakili anak Paul Walker dalam hujahnya berkata " Hakikatnya kereta Porsche Carreta GT merupakan sebuah kereta yang berbahaya, ia tidak sepatutnya berada di jalan raya ".

Porsche dalam kenyataan balasnya mempertahankan rekabentuk Porsche Carrera GT dengan mengatakan bahawa kecuaian ketika memandu dan kereta yang dipandu dengan laju merupakan penyebab utama mereka berdua terbunuh seperti yang telah didedahkan oleh pihak berkuasa.

James Dean

Porsche 550 Spyder milik James Dean

Selain daripada Paul Walker, legenda Hollywood yang terkenal melalui filem East of Eden dan Rebel Without a Cause, James Dean juga maut akibat kemalangan jalan raya. Beliau yang memandu Porsche 550 Spyder sedang dalam perjalanan ke sebuah acara perlumbaan di Salina's, California dikatakan telah bertembung dengan sebuah Ford Tudor menyebabkan beliau mati manakala mekaniknya, Rolf Wultherich mengalami kecederaan serius.

Sebelum kemalangan tersebut berlaku, James Dean telah ditahan oleh Pasukan Peronda Lebuhraya California kerana memandu melebihi had laju sekitar jam 3.30 petang. Saman dikeluarkan atas kesalahan memandu 10 batu di dalam zon kelajuan 55 batu yang telah ditetapkan.



Ada yang beranggapan kereta yang diberi nama Little Bastard oleh James Dean ini mempunyai sumpahan. Hal ini kerana selepas kemalangan maut ini berlaku, segala komponennya seperti enjin, transimission dan tayar telah dipasang pada sebuah kereta yang akhirnya dilaporkan turut mengalami kemalangan jiwa. Sebuah trak yang membawa chasis kereta Porche 550 milik James Dean ini juga terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan pemandunya mati ketika dalam perjalanan menghantar chasis kereta ini ke sebuah pameran keselamatan jalan raya pada tahun 1959.



Sumpahan Porsche James Dean sentiasa diingati oleh penggemar kereta Porsche seluruh dunia kerana melibatkan nyawa seorang bintang Hollywood terkenal.

Puteri Diana



Kemalangan maut di dalam terowong di Paris membabitkan Princess of Wales, ibu kepada pewaris takhta British semestinya menjadi kemalangan jalan raya paling diingati di seluruh dunia. Beliau yang berada di tempat duduk belakang bersama kekasihnya, Dodi al-Fayed, anak jutawan Mesir maut apabila Mercedes S-class S280 W140 yang dipandu oleh Henri Paul ( Ketua Keselamatan Hotel The Ritz ) hilang kawalan dengan melanggar dinding terowong.

Kejadian yang berlaku pada 31 Ogos 1997 itu menyebabkan ketiga-tiga mereka maut di tempat kejadian manakala seorang lagi pengawal peribadi Puteri Diana ( Trevor Rees-Jones ) mengalami kecederaan serius. Spekulasi mengatakan beliau terselamat dari kemalangan tersebut kerana memakai tali pingga keledar. Namun laporan teknikal yang dikeluarkan pada 2006 menyatakan bahawa kesemua mereka yang berada di dalam kereta tersebut tidak memakai tali pinggang keledar.

Mercedes S280 yang membawa Puteri Diana remuk akibat kemalangan

Sejurus kemalangan tersebut berlaku, media telah membuat andaian bahawa kemalangan tersebut itu berlaku kerana paparazzi yang mengekori ikon dunia tersebut. Namun hasil siasatan menyatakan tiada kelibat paparazzi berhampiran kawasan kemalangan sekaligus menafikan segala andaian tersebut. 

Hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada pemandunya iaitu Henri Paul yang dikatakan memandu dalam keadaan mabuk kerana terdapat dos ubat penenang di dalam badannya ketika pasukan perubatan mengambil sampel darah badannya. Bagaimanapun bapa kepada Dodi al-Fayed, Mohamed Fayed mendakwa bahawa kematian anaknya serta Puteri Diana merupakan sebuah konspirasi pembunuhan yang dilakukan oleh perkhidmatan rahsia MI6 dengan arahan dari Istana England.



Teori konspirasi mendakwa bahawa Puteri Diana hamil ketika kemalangan tersebut berlaku dan merancang untuk bertunang dengan Dodi al-Fayed. Namun Istana England kurang menggemari penglibatan seorang Muslim dalam kalangan keluarga diraja England menyebabkan arahan untuk membunuh Queen of People's Hearts dikeluarkan kepada perkhidmatan rahsia England tersebut.

Akhbar Daily Mirror pada Oktober 2003 pula telah mengeluarkan sebuah surat yang ditulis Puteri Diana sepuluh bulan sebelum kematiannya yang mana isi kandungannya menyatakan terdapat kemungkinan yang terdapat perancangan untuk membunuhnya dengan merosakkan brek keretanya. Hal ini adalah bertujuan untuk memudahkan rancangan suaminya, Putera Charles untuk berkahwin lain.

++

Raslan Abdullah


Di Malaysia, kemalangan melibatkan pengasas firma perakauan Hanafiah, Raslan dan Mohamed ( HRM ), Dato' Raslan Abdullah telah mengejutkan negara. Beliau yang merupakan bapa kepada penulis prolifik, Karim Raslan dan bekas CEO PwC Malaysia, Dato' Johan Raslan telah maut di Kuala Lumpur apabila kereta Lamborghini Espada yang dipandu olehnya terlibat dalam kemalangan pada 1971.

Menurut cakap-cakap, beliau yang tersepit selepas kemalangan tidak dapat menyelamatkan diri tatkala api menyambar keretanya meskipun isterinya sempat melepaskan diri dari keluar dari Lamborghini tersebut.

Kematian ikon terkenal sentiasa mencuri tumpuan masyarakat sedunia namun apabila ia melibatkan kemalangan jalan raya, ia sering kali mempunyai nilai tambah dalam penceritaan mengenai pengakhiran riwayat seorang individu itu. Terutama sekali apabila anda mati dengan penuh bergaya di dalam sebuah kereta sports Itali ataupun limosin Jerman. 

Cuba berfikir seketika... Andai ditakdirkan anda pergi ketika memandu... Kereta apakah yang anda pandu? Fikir-fikirkanlah...

No comments:

Post a Comment