Sunday, 4 October 2015

Deretan Jaguar E-Type Tarikan Utama Asia Klasika 2015


Acara automotif klasik paling dinanti-nantikan oleh penggemar kereta klasik dan vintaj iaitu Asia Klasika 2015 telah melabuhkan tirainya pada tahun ini. Acara tiga hari yang berlangsung di Pullman Putrajaya bermula 2 Oktober hingga 4 Oktober 2015 ini diadakan serentak dengan program XLR8 anjuran Astro.


Menurut Andrew Suresh, penganjur Asia Klasika dari Historic Motoring Ventures menyatakan bahawa lebih 70 buah kereta pelbagai jenama dari MG hingga ke Porsche mengambil bahagian dalam Concours ( pertandingan ) kereta klasik berprestij ini yang masuk tahun keenam.

Tahun ini Asia Klasika meraikan ulangtahun ke-80 Jaguar, ulangtahun ke-60 model Mercedes Benz 190SL dan Citroen DS. Selain itu, acara ini turut merayakan ulangtahun ke-40 BMW 3 series dan juga ulangtahun ke-105 Alfa Romeo semenjak ia mula ditubuhkan pada 1910.

Apa yang menarik dalam acara ini, Tuanku Sultan Johor yang merupakan penaung bagi acara ini telah mempamerkan lebih 10 unit kenderaan miliknya terdiri dari motor Harley Davidson, kereta PROTON, Jaguar serta BMW. Koleksi kenderaan yang dipamerkan baginda kali ini merupakan tarikan utama dalam acara ini apabila sering kali menjadi perhatian penggemar serta orang ramai yang hadir dalam acara ini.

Porsche 356A Speedster 1958
Antara kenderaan yang menarik perhatian pada kali ini merupakan Porsche 356A Speedster tahun 1958. Kereta ini dipercayai satu-satunya Porsche 356A Speedster yang ada di Malaysia dan apa yang lebih membuatkan ia lebih rare, kereta ini merupakan right hand drive.  Kebanyakkan Porsche 356 yang sedia untuk dijual merupakan left hand drive kerana Porsche lebih memfokuskan pasaran Amerika berbanding Eropah. Anggaran harga untuk model ini adalah sekitar AS$ 280,000 ataupun RM1,200,000.

Mercedes Benz 190SL
Selain itu, dua unit Mercedes Benz 190SL turut menjadi tumpuan. Mercedes Benz 190SL dikeluarkan dari tahun 1955 hingga 1963 sebagai alternatif yang lebih murah kepada 300SL. Sehingga kini, model ini terus menerus menjadi pilihan utama bagi penggemar kereta klasik dan vintaj sebagai kereta untuk pelaburan. Menurut Hagerty, nilai 190SL telah meningkat lebih 300% dalam tempoh lima tahun. Pada tahun 2010, harganya dianggarkan bernilai AS$60,000 tetapi penilaian terakhir yang dibuat pada September 2015 menunjukkan nilainya kini mececah AS$200,000 ( RM880,000 ) bagi kenderaan yang berada dalam keadaan baik.

Jaguar E-Type milik Sultan Johor
Jaguar yang ditubuhkan pada tahun 1945 menyambut Jubli Intannya pada tahun ini. Penyertaan model ikoniknya, Jaguar E-Type dalam acara ini boleh dikatakan sebagai memberangsangkan. Lebih kurang 10 unit E-Type mengambil bahagian dalam Asia Klasika kali ini dimana Sultan Johor sahaja telah menghantar empat buah E-Type.

Model rekaan Malcolm Sayer ini mendapat pengiktirafan dalam akhbar The Daily Telegraph yang meletakkan E-Type di tangga pertama dalam senarai 100 kereta tercantik sepanjang zaman. Majalah Sports Car International turut meletakkan model ini di tangga pertama sebagai kereta tercantik dalam kategori kereta 60-an.

Mercedes Benz 500K 1936
Seperti kebiasaannya, Mercedes Benz 500K 1936 milik Tan Sri Eugene Campos terus menarik perhatian penggemar kereta klasik dan vintaj. Menurut rekod, model ini kepunyaan Datuk Bandar Barcelona yang kemudiannya dijual kepada seorang pengumpul kereta klasik Australia pada tahun 1980 sebelum TS Eugene Campos membelinya pada tahun 1997.

Menurut beliau, kereta ini telah dihantar kepada pakar restorer kereta Mercedes di Landshut, Jerman selama dua tahun untuk proses baikpulih. Kos baikpulih kereta ini menelan belanja RM1 juta dan segala prosesnya telah didokumentasikan. Kemudiannya, penganjur Pebble Beach Concours d'Elegance telah menjemput beliau untuk mempamerkan keretanya pada acara kereta klasik dan vintaj paling berprestij di dunia ini.

Kereta ini mungkin merupakan satu-satunya kereta yang berada di Malaysia yang telah berjaya untuk dipamerkan di Pebble Beach Concours d'Elegance. 

Persoalannya...

Berapakah harga Mercedes Benz 500K ini?
Benarkah ia bernilai RM24 juta?

Sejujurnya, tiada tanda harga ataupun price tag untuk kereta seperti ini kerana ia terlalu terhad selain merupakan kereta yang paling dicari-cari oleh pengumpul. 

Syarikat lelongan RM Auction pada tahun 2011 di Monterey telah berjaya menjual Mercedes Benz 500K Roadster oleh Sindelfingen tahun 1935 pada harga RM13.5 juta ( AS$ 3.7 juta ). Tahun lalu pula, Bonhams telah berjaya menjual Mercedes Benz Special Roadster 500/540K tahun 1934 pada harga RM 15 juta ( 3.1 juta Euro ). RM Auction pada acara lelongan Amelia Island pada Mac yang lepas telah berjaya menjual Mercedes Benz 500/540 K Cabriolet A oleh Sindelfingen tahun 1935 pada harga RM 11.4 juta ( AS$3 juta ).

Kenapa penulis berbicara mengenai harga kereta ini? Ini kerana beberapa tahun lepas penulis dikhabarkan bahawa kereta ini bernilai AS$2.4 juta dan belakangan ini penulis dikhabarkan ia bernilai RM24 juta. Mungkin penulis salah dengar...

PROTON Saga 1.5 Megavalve milik Sultan Johor
Model pertama keluaran PROTON, Saga turut menyambut ulangtahun ke-30 pengeluarannya. Sultan Johor telah membawa kembali nostalgia tersebut apabila mempamerkan PROTON Saga yang pernah dihadiahkan kepadanya pada tahun 1985 dengan nombor pendaftaran PROTON 1. Selain itu, baginda juga mempamerkan Satrio Neo dengan nombor pendaftaran WWW1 yang pernah mencetuskan kontoversi apabila dibida pada harga RM520,000.

Panther J72 1972

Kereta Panther J72 tahun 1972 dengan nombor pendaftaran JAG 2 boleh dikatakan antara kereta paling aktif dalam arena kereta klasik di Malaysia. J72 merupakan model pertama keluaran Panther Westwinds iaitu syarikat yang berpangkalan di England. Sebanyak 368 unit model ini telah dikeluarkan dalam tempoh sembilan tahun pengeluaran dari tahun 1972 hingga 1981.

Mercedes Benz 280E 1982
Yaa... Mercedes diatas kelihatan seperti Mercedes Benz W123 biasa yang anda lihat diatas jalan raya sebagai teksi... Tetapi sebenarnya tidak... Apa yang luar biasanya Mercedes E-class ini adalah spesifikasinya. Kereta ini sebenarnya W123 280E dimana kebiasaannya di Malaysia, Mercedes W123 yang ada di jalan raya merupakan 200/200E atau 230/230E sahaja. Ianya menggunakan enjin 2.8 liter yang menyalurkan 175 kuasa kuda. Ketika ditanya kepada CEO syarikat Kuala Lumpur & Temasek Automobiles yang bertanggungjawab mengimport kereta ini, beliau menyatakan bahawa kereta ini telah terjual pada harga RM108,000.

Acara ini telah berjaya menghimpunkan pelbagai model kereta dari MG MGBGT ke Ferrari 328GTS hinggalah Mercedes Benz 600 dalam satu-satu masa. Ini merupakan pencapaian hebat buat penganjur Historic Motoring Ventures dalam meletakkan Concours d'Elegance kereta klasik dan vintaj sebagai salah satu acara yang paling ditunggu-tunggu dalam kalendar automotif Malaysia.

Selepas enam tahun acara ini berlangsung, kami berharap Asia Klasika dapat diteruskan supaya menjadi peneraju dalam menganjurkan himpunan kereta klasik dan vintaj di Asia Tenggara. Program serta acara yang menjadikan sebagai tarikan utama perlu diketengahkan bagi menarik minat generasi muda mengenai kereta klasik sekaligus akan merancakkan lagi industri ini di Malaysia.

Ferrari 328 GTS
Maklum balas dari kalangan generasi muda yang hadir pada acara ini menyatakan bahawa mereka ingin menyaksikan model kereta yang terdapat dalam filem Hollywood seperti Ford Mustang dan Pontiac GTO. Mungkin pada acara tahun hadapan penganjur perlu menambah lagi variasi kereta terutamanya Muscle Cars bagi menarik minat generasi Y untuk berjinak-jinak dalam industri kereta klasik dan vintaj ini. Atau boleh dipertimbangkan satu seksyen untuk koleksi kereta yang telah dicustomizedkan seperti mana yang Hatish Mayer lakukan selama ini.

Apa pun tahniah kepada pihak penganjur... Kami menantikan Asia Klasika 2016

Lagi gambar dibawah

Alfa Romeo 1750GT Veloce



Alfa Romeo Montreal 1974




Mercedes Benz SL R129


Mercedes Benz 280SE 3.5 Coupe 1971

Austin Healey 3000
Ferrari 348

Mercedes Benz SL R107
Ferrari 512 BBi 1983


Jaguar E-Type




Mercedes Benz 190SL



Mercedes Benz 280S W108

BMW E30 320


MINI Cooper S
Volkswagen Karmann Ghia 
Porsche 928 S4 1987

Toyota Celica Supra 1985

Nissan GTR-32 1989

MG MGBGT

PROTON Satria Neo
Jaguar E-Type








Mercedes Benz 190SL


W121-W121-R107


Jaguar E-Type

No comments:

Post a Comment