Sebelum meneruskan penulisan, kita harus faham apakah itu kereta klasik dan vintaj yang dimaksudkan penulis. Kereta klasik dan vintaj yang mengalami peningkatan harga kebiasaannya merupakan kereta yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. Hal ini mendorong kereta klasik dari Britain, Itali, Jerman mahupun Amerika dapat mengekalkan nilainya walaupun zaman kegemilangannya telah berlalu.
Harus diingatkan bahawa kereta klasik seperti Volvo, Toyota, Datsun dan sebagainya yang sering dilihat di kampung-kampung jarang mengalami peningkatan harga. Perkara ini disebabkan jumlah pengeluarannya yang tinggi selain jenama yang tidak diiktiraf oleh masyarakat menyebabkan jumlah permintaan kurang sekaligus mengalami susut nilai yang tinggi.
Laman web thisismoney.co.uk pula melaporkan sebuah kereta klasik jenis Triumph model Stag kini berharga RM50,000 berbanding empat tahun yang lepas yang dianggarkan sekitar RM 25,000. Manakala Aston Martin DB5 Sports Saloon berharga RM770,000 pada tahun 2011 kini bernilai RM 1,760,000.
Mercedes 190SL pula pada awal tahun 2012 bernilai sekitar RM400,000. Namun sekitar pertengahan tahun 2013 Mercedes 190 SL tahun 1961 telah dijual melalui bidaan dengan nilai bidaan sekitar Rm810,000 di Monterrey RM Auction. Mercedes W113 Pagoda Top juga dijangkakan akan terus meningkat dari nilai semasa iaitu sekitar RM280,000.
Consumer News & Broadcasting Channel ( CNBC ) iaitu rangkaian media gergasi di Amerika Syarikat pula dalam artikelnya pada 4 Mac lalu menyatakan bahawa kereta klasik merupakan pelaburan terbaik pada tahun 2014 jika dibandingkan dengan karya seni, barang kemas, wain dan jam tangan.
Menurut mereka lagi, harga kereta klasik meningkat sebanyak 487% dalam tempoh 10 tahun dan 140% dalam tempoh lima tahun. Walaupun begitu, kereta klasik seperti Ferrari, Bugatti, Porsche dan Mercedes meningkat sekitar 16% berbanding 47% pada tahun sebelumnya.
Salah satu sebab mengapa kereta klasik menjadi terus mengalami peningkatan harga kerana jumlah permintaan yang semakin meningkat tatkala penawaran semakin berkurang. Permintaan yang didorong peningkatan ekonomi oleh segolongan individu dan jumlah kereta klasik dan vintaj yang terhad disebabkan kemalangan jalan raya, kebakaran dan rosak. Hal ini sekaligus menyebabkan jumlah kereta tersebut di atas jalan raya berkurang sekaligus memaksa penggemar kereta klasik untuk membayar pada harga yang mahal untuk memiliki kereta tersebut.
Kemunculan kereta klasik dalam filem-filem Hollywood seperti francais Fast & Furious, Death Race, Gone in Sixty Seconds dan sebagainya juga mendorong peningkatan nilai sesebuah model tersebut. Penggunaan kereta berkenaan secara tidak langsung memberi nilai tambah model-model kereta tersebut kerana ia sering kali dikaitkan dengan peranannya dalam filem-filem blockbuster Hollywood.
Sudah pasti kita dapat membayangkan Dodge Charger yang sinonim dengan watak Dominic Toretto dalam filem Fast & Furious serta Shelby Mustang Eleanor dalam filem Gone in Sixty Seconds lakonan Nicolas Cage. Aston Martin DB5 pula sinonim dengan watak James Bond kerana model ini digunakan dalam beberapa buah filemnya antaranya Goldfinger, Golden Eye, Tommorow Never Dies dan yang terbaharu sekali Skyfall.
Kami ada melihat ramai penggemar kereta klasik khususnya penggemar Mercedes mencari Mercedes W124 Coupe untuk dibeli mungkin sebagai pelaburan. Adakah model seperti ini akan mengalami peningkatan di Malaysia? Kami menjangkakan bahawa kereta ini akan berlegar pada harga sekitar RM 25,000 hingga RM 35,000 untuk tempoh lima tahun akan datang kerana jumlah yang dibawa masuk ke Malaysia agak tinggi iaitu dianggarkan melebihi 3,000 unit.
Satu perkara yang menarik mengenai melabur dengan membeli kereta klasik adalah anda dapat menikmatinya dengan memandunya mengelilingi kota raya ataupun ke kelab untuk bermain golf serta mempunyai gaya hidup tersendiri bersama penggemar kereta klasik yang lain.
No comments:
Post a comment