Tuesday, 7 July 2015

Lima Kereta Jerman Paling Ikonik



Kenderaan pertama yang dicipta menggunakan kuasa enjin telah dibangunkan pada tahun 1885 oleh seorang warga Jerman bernama Carl Benz. Kereta dengan dua tempat duduk dan tiga roda ini telah diperkenalkan pada malam tahun baru pada 1879.

Industri automotif dunia telah memasuki dimensi baharu sejurus kenderaan ini berjaya dicipta. Carl Benz meneruskan usahanya dalam bidang automotif bersama Gottlieb Daimler dengan jenama yang kini dikenali sebagai Mercedes Benz.

Tidak hairanlah mengapa sehingga ke hari ini, kereta Jerman masih mendahului dalam pembangunan industri automotif kerana bidang ini telah bertapak di sana melebihi 100 tahun kerana mereka merupakan perintis industri ini.



Mercedes Benz, Audi, Volkswagen, BMW dan Porsche antara nama-nama besar dari Jerman yang menguasai pasaran dunia. Keluaran model kereta dari pengeluar Jerman ini sering kali dinanti-nantikan penggemar kereta di dunia.

Berikut, kami mengambil kesempatan membincangkan lima buah model keluaran Jerman paling ikonik yang pernah dikeluarkan ;



5. Porsche 911

Porsche 911 yang dikeluarkan pada tahun 1964 merupakan ibu segala Porsche. Hal ini kerana model ini telah dikeluarkan selama 25 tahun sehingga tahun 1989 dan reka bentuknya menjadi asas untuk penciptaan model Porsche terbaharu meskipun selepas 50 tahun.

Pengganti Porsche 356 ini telah diperkenalkan pada Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt pada tahun 1963. Model ini pada asalnya ingin dikomersialkan dengan nama 901. Namun begitu, Peugeot memprotes cadangan tersebut kerana mereka mempunya hak ekslusif untuk menamakan model kereta mereka dengan tiga angka dan angka kosong ditengahnya ( 408,508,308 ). Disebabkan itu, Porsche menamakan model ini sebagai 911 dengan sebutan nine-eleven apabila melancarkannya pada tahun 1964.

Hasil kejayaan model ini telah menjadi penanda aras untuk keluaran Porsche seterusnya. Sehingga kini, lebih 820,000 unit Porsche 911 telah dikeluarkan menjadikan ia sebagai kereta sports paling berjaya di dunia.

Mengikut syarikat insurans kereta klasik yang berpusat di Amerika Syarikat, Model ini dengan concourse-condition dianggarkan bernilai AS$186,000 pada tahun 2011 dan terus mencanak naik dengan nilai AS$440,000 pada tahun 2015. Peningkatan sebanyak AS$254,000 dalam tempoh kurang lima tahun.



4. Volkswagen Beetle

Volkswagen Beetle merupakan sebuah kereta yang paling berjaya di dunia. Kenderaan ini telah dikeluarkan dari tahun 1938 hingga 2003. Lebih 21 juta unit Volkswagen Beetle telah dikeluarkan dalam tempoh 65 tahun sekaligus menjadikan ia sebagai kereta paling banyak dikeluarkan di dunia.

Adolf Hitler menghubungi Ferdinand Porsche dan memintanya merekakan sebuah kereta yang murah, ringkas serta mampu dikeluarkan secara besar-besaran pada tahun 1934. Ferdinand Porsche bersama pasukannya mengambil masa selama empat tahun sebelum mengeluarkan kereta ini pada tahun 1938.

Kami meletakkan kereta ini sebagai kereta Jerman paling ikonik kereta rekabentuknya yang menarik dan ringkas menyebabkan ia menjadi salah satu kereta paling dikenali di dunia.Penggemar Volkswagen Beetle sentiasa ada dimana-mana dan sehingga kini, ia merupakan antara kereta klasik yang paling murah untuk dimiliki.

Model ini juga disenaraikan pada no.4 sebagai kereta paling berpengaruh pada abad ke-20 oleh Yayasan Pemilihan Automotif Global pada tahun 1999 selepas Ford Model T, Mini dan Citroen DS.



3. Mercedes 600

Mercedes 600 dengan kod W100 merupakan kereta ultra-mewah setanding Rolls Royce dan Bentley. Kereta ini telah dikeluarkan selama 18 tahun dari tahun 1963 hingga 1981. Sebanyak 2,677 unit Mercedes 600 dikeluarkan terdiri daripada 2,190 unit Standard-Wheelbase, 428 unit Long-Wheelbase dan 59 unit Landaulet.

Kereta ini menggunakan enjin sebesar 6.3 liter dan merupakan enjin yang paling besar dikeluarkan oleh Mercedes ketika itu. Selain itu, tingkap, tempat duduk bahkan but kereta juga menggunakan kuasa hidraulik untuk berfungsi.

Antara selebriti terkemuka dunia yang memiliki kereta ini adalah Hugh Hefner ( pengasas majalah Playboy ), John Lennon ( penyanyi The Beatles ), Elvis Presley ( Raja Rock&Roll ), Rowan Atkinson ( Mr. Bean ) serta Jeremy Clarkson ( bekas pengacara Top Gear ).

Pemimpin-pemimpin dunia yang memiliki Mercedes 600 terdiri daripada Ferdinard Marcos ( Presiden Filipina ), Ketua Gereja Katolik ( Paus ), Fidel Castro ( Pemimpin Cuba ), Shah Reza Pahlavi ( Raja Iran ) serta Sultan Johor.

Raja Dadah warga Colombia, Pablo Escobar yang mempunyai kekayaan AS$30 bilion turut memiliki Mercedes 600.

Kereta ini dijual pada harga AS$22,000 pada tahun 1965 namun nilainya terus melonjak tinggi. Harga kereta ini pada keadaan yang terbaik dianggarkan bernilai RM550,000 untuk Standard-Wheelbase. Pada September 2006, kereta ini dengan keadaan yang serupa bernilai RM323,000 menunjukkan peningkatn RM227,000 dalam tempoh kurang 10 tahun.

Mengikut nilai yang dilelong oleh RM Auction pada tahun 2014 di Paris, Mercedes 600 Pullman Landaulet seperti yang digunakan oleh Sultan Johor ketika Istiadat Kemahkotaannya berjaya dijual melalui bidaan yang bernilai RM2.2 juta.



2. Porsche 356

Porsche 356 merupakan salah satu kebangaan Porsche untuk sekian lama. Kereta ini merupakan kereta pertama yang dikeluarkan oleh syarikat Porsche yang sedia ada kini. Sebelum itu, Porsche dikeluarkan oleh Porsche Salzburg ( Austria ) pada tahun 1948 dan 1949 sebelum Porsche Jerman meneruskan pengeluarannya dari tahun 1950-1965.

Model Porsche ini telah mencipta pelbagai kejayaan pada peringkat perlumbaan. Antara kejuaraan yang pernah dimenangi Porsche dengan jentera 356 ini adalah Le Mans 24 hour, Swedish Midnight Sun Rally dan Mille Miglia.

Kesemua lebih 70,000 unit Porsche 356 yang dikeluarkan menggunakan kerja tangan. Disebabkan itu, mereka hanya mampu mengeluarkan purata enam unit 356 dalam tempoh sehari. Harga Porsche 356 Coupe tahun 1955 pada keadaan concourse dianggarkan bernilai RM600,000 pada nilai semasa.  



1. Mercedes Benz 300SL

Mercedes Benz 300SL dengan kod W198 merupakan siri model SL pertama yang dibina oleh Mercedes. Kereta ini merupakan kereta paling laju pernah dibina ketika ia diperkenalkan di Pameran Motor New York pada tahun 1954.

Salah satu ciri yang paling signifikan dengan model ini adalah pintunya yang naik ke atas apabila dibuka yang disamakan dengan burung camar ( gull ) yang terbang. Disebabkan itulah Mercedes 300SL Coupe juga disebut sebagai Mercedes 300SL Gullwing.

Model ini pada mulanya dibina untuk perlumbaan namun dikomersialkan pada tahun 1954 sehingga tahun 1963. Dalam tempoh sembilan tahun, Mercedes Benz telah mengeluarkan 3,258 unit yang terdiri daripada 1,400 coupe ( gullwing ) dan 1,858 unit Roadster. 

Harga Mercedes 300SL Gullwing ketika ia diperkenalkan ialah AS$11,000. RM Auction ketika acara lelongan Koleksi Don Davis pada tahun 2013, dibida pada harga RM4.26 juta.

Model ini dijual pada harga AS$11,000 ketika ia diperkenalkan namun kini, harganya terus meningkat naik. RM Auction yang melelong kereta ini pada tahun 2013 telah terjual melalui bidaan bernilai RM4.62 juta.

Menurut syarikat insurans Hagerty yang berpangkalan di Amerika Syarikat, kereta ini dianggarkan bernilai sekitar RM2 juta pada tahun 2006. Melalui kiraan berkala mereka pada Mei 2015, harganya meningkat kepada RM6.2 juta. Dalam erti kata lain, Mercedes Benz 300SL Gullwing merupakan model terbaik untuk dibeli sebagai pelaburan kerana pulangannya yang tinggi iaitu sekitar 20% setahun.

1 comment: